Pakej TRD Performance itu mampu menaikkan output kuasa asal enjin i-FORCE 389 hp kepada 421 hp @ 5,200 rpm dan daya kilas 649 Nm seawal 2,000 rpm.
Sementara untuk model i-FORCE MAX pula, kit itu mampu menambah kuasa 32 hp kepada 469 hp, menjadikannya lebih berkuasa berbanding kebanyakan trak pikap di Amerika Syarikat.
Rahsianya?
Para jurutera telah meningkatkan aliran udara yang masuk ke dalam pengecas turbo, dan dalam masa yang sama mengoptimasikan kalibrasi perisian pengurusan enjin.
Bukan itu sahaja, pakej TRD Performance itu menggandingkan salur kemasukan berkembar yang lebih besar dengan ekzos cat-back aliran tinggi yang mampu mengurangkan tekanan berbalik.
Lebih penting, naik taraf itu masih lagi membenarkan para pemilik mengisi bahan api 91 Oktana ke dalam tangki bahan api Tundra TRD.
Selain daripada itu, pakej TRD Performance turut menawarkan lencana khas TRD, tip ekzos unik, serta tidak ketinggalan jaminan penuh daripada pengilang.
Kit tersebut akan dipasang secara terus di kilang sebelum dihantar ke pengedar, di mana pembeli Tundra TRD hanya perlu menambah kos sebanyak $3,400 (RM16,108).