Terbaru di Texas, Toyota memperkenal Tundra 1794 Special Edition Premium yang dibuat sebanyak 1,500 unit sahaja.
Dari mana datangnya 1794? Angka itu merujuk kepada tahun pembukaan ladang di San Antonio yang kini menjadi kilang pengeluaran Tundra.
Tundra 1794 sudah ada di pasaran sebelum ini dan Toyota meningkatkan lagi tawaran dengan ciri dan aksesori khas seperti beg dan sebagainya.
Tundra 1794 Limited Edition ditawarkan dalam gaya badan Crew Max, kargo 5.5 kaki, pacuan empat roda dan enjin hibrid i-FORCE Max.
i-FORCE Max menggabungkan enjin 3.5 liter V6 turbo berkembar Dual VVT-i dengan motor elektrik yang berada di antara enjin dan transmisi.
Enjin itu dipadan bersama transmisi automatik sepuluh kelajuan kawalan elektronik dengan kepintaran (ECT-i).
Nadi yang besar menghasilkan 437 kuasa kuda (hp) pada 5,200 rpm dan tork setinggi 790Nm pada 2,400 rpm.
Motor elektrik mempunyai kuasa 36 kilowatt (48 hp) dan 250Nm. Bateri Ni-MH berkapasiti 1.87 kilowatt-jam (kWj).
Keistimewaan varian terhad ini terletak pada kulit premium yang dibangunkan dengan kerjasama Saddleback Leather Company.
Tidak hanya bawa pikap besar dan cantik, pemandu boleh bawa sekali aksesori Saddleback Leather Company seperti beg pakaian dan sarung kunci.
Selain dalaman dan aksesori, pikap ini dilengkapi penyerap hentak FOX® Internal Bypass dengan takungan berasingan.
Pikap ini juga dinaikkan sebanyak 1.1 inci yang nampak lebih perkasa dan sesuai untuk meredah pelbagai permukaan bumi.
Pada bahagian luar, Tundra 1794 Limited Edition tampil dengan jeriji krom gelap, pendakap sisi, riasan badan hitam dan pintu kargo dengan cetakan edisi terhad.
Ada empat warna yang ditawarkan iaitu Wind Chill Pearl, Midnight Black Metallic, Blueprint dan Smoked Mesquite.
Harga belum diberikan dan sebagai rujukan Tundra 1794 4x4 CrewMax 5.5 kaki ditawarkan pada AS$65,460 (RM306,884). Edisi terhad biasanya lebih mahal.
Penulis: Muhammad Md Tajudin