Berita Global

Pelindung telefon pintar tidak cukup mewah? Pelindung ini berjenama Mercedes-Benz

on

Harga telefon pintar sekarang ini sudah memasuki pasaran premium. Jenama buah dari Amerika Syarikat misalnya sudah pun memasuki angka tiga hingga lima jari. Tidak mahu kalah, pengeluar dari Korea Selatan pun ikut serta dalam memasarkan pada harga yang tinggi. Juga tidak mahu kalah, pengeluar dari China pun sama ikut serta.

Anehnya, walaupun mahal tetapi tetap ada yang membeli dan sanggup beratur bagi mendapatkannya.

Walaupun telefon pintar sekarang ini mahal harganya tetapi pasaran penutup telefon pintar masih lagi terbuka luas. Ironiknya harga telefon sudah menjangkau ribuan ringgit tetapi pelindung (cover) yang biasa ditemui hanya puluhan atau paling mahal ratusan ringgit.

Telefon berharga RM3,000 tetapi pelindung berharga RM30. Ini tidak boleh jadi!

Kepada mereka yang mahukan sesuatu yang berbeza dan tampak premium, Mercedes-Benz Accessories GmbH dan rakan, CG Mobile of Paris ada mengeluarkan sejumlah 20 varian aksesori berkualiti tinggi untuk telefon pintar dan tablet.

Rekabentuk serta rasa pegangnya adalah refleksi kemewahan material yang digunakan pada dalaman kenderaan Mercedes-Benz. Aksesori yang ditawarkan tidak terhad kepada pelindung sahaja malah turut mempunyai pengecas bateri dan kabel USB.

Kepada mereka yang mahukan pengecas tersebut, bateri yang dibekalkan adalah dari jenis lithium polymer dengan dua saiz dan kuasa iaitu 5,000 atau 10,000 mAh.

Kabel yang dibekalkan pula mempunyai dua fungsi iaitu untuk mengecas dan menyegerak (syncing) model iPhone®, iPad® and iPod®.

Pelindung telefon pintar pula menggunakan pelbagai material iaitu kulit, aluminium dan gentian kaca. Berikut ialah pembahagian produk pelindung telefon pintar dan tablet Mercedes-Benz.

  • Line 1: Diinspirasi daripada garis badan model S-Class, pelindung ini mempunyai gayaan sporti dan kemewahan. Pelindung aluminium mempunyai kemasan kulit, gentian kaca atau kayu.
  • Line 2: Mengambil konsep dalaman kenderaan Mercedes-Benz. Dihasilkan daripada kulit dan seperti balutan kerusi kereta mewah, mempunyai corak tebukan (perforated).
  • Line 3: Pelindung dari kulit ini mengulangi kontur organik kemasan kayu yang digunakan pada dalaman C-Class.
  • Line 4: Model ini khusus untuk mereka yang gemarkan kereta berprestasi Mercedes-Benz. Ia menggunakan aluminium atau gentian kaca.

Mercedes-Benz tidak memperincikan jenama dan model yang sesuai dengan aksesori telefon pintar dan tabletnya namun menurut mereka pelindung jenis buku (book type) dan pelindung keras (hard case) yang dijual boleh didapati untuk pelbagai jenis telefon pintar termasuk model terkini Apple iPhone® 7.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Recommended for you

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *