Hezeri Samsuri

Jurnal 9 – Proton punca rakyat tidak mampu beli rumah?

on

Terpanggil untuk menulis artikel ini selepas rakan menghantar satu artikel dari sebuah akhbar berbahasa Cina.

Saya tidak faham bahasa itu, tetapi rakan-rakan telah membantu untuk alih bahasakannya bagi pemahaman saya.

Secara ringkas, penulis artikel itu berpendapat Proton ialah punca rakyat Malaysia kini tidak mampu untuk membeli rumah.

Menurut artikel alih bahasa yang diberikan kepada saya, kerajaan tidak begitu komited dalam pembinaan sistem pengangkutan awam dalam era 1980-an dan sebaliknya lebih fokus untuk memastikan rakyat mampu membeli kenderaan.

Kerana itu, menurut penulis tersebut, Proton diwujudkan.

Sekarang ini, kerana pertambahan kenderaan yang terlalu banyak, kerajaan masih tidak mahu membina sistem pengangkutan awam tetapi melebarkan jalanraya. Untuk menampung kos pembinaan lebuhraya, tol-tol dikenakan.

Kos tol ini akan mengurangkan kuasa membeli rakyat dan mereka akhirnya tidak mampu membeli rumah.

Penulis itu juga turut membincangkan harga parkir kenderaan di rumah. Setiap lot parkir akan berharga dari RM20,000 ke RM30,000. Sekarang ini, setiap rumah disediakan dua ruang parkir, menjadikan kos untuk membinanya dalam lingkungan RM60,000 – antara 10 ke 15 peratus dari harga rumah itu sendiri.

Sekiranya sistem pengangkutan awam negara baik, rakyat tidak perlu membeli kenderaan dan tidak perlu dibina terlalu banyak ruang parkir – maka harga hartanah akan turun.

Pada pendapat saya, penulis mungkin tidak tinggal di Malaysia, ataupun cara penyampaian beliau lemah hinggakan tidak mampu menyuarakan pendapat beliau.

Sekiranya beliau tinggal di Lembah Klang, pasti akan melihat betapa banyaknya pembangunan sistem rel yang akan menyambungkan banyak kawasan di sekitar Lembah Klang.

Sistem bas turut dipertingkatkan, malah ada yang menawarkan bas percuma. Sistem rel sedia ada pula ditambahkan lagi gerabak. Mungkin tidak cukup tetapi ini ialah kerana peningkatan pengguna sistem pengangkutan awam.

Yang sebenarnya, pengguna pengangkutan awam semakin bertambah dan kerajaan memang melabur banyak untuk penambahbaikan sistem itu.

Kemudian kita lihat pula dari sudut automotif.

Ini ialah kali pertama saya membaca sebuah artikel yang menuduh syarikat kenderaan menjadi punca orang tidak mampu membeli rumah.

Idea beliau sangat kreatif, malah saya syak beliau mungkin lebih mahir menulis cerpen fiksyen.

Tun Dr Mahathir Mohamad mahukan Malaysia berubah dari sebuah negara pertanian kepada sebuah negara industri. Oleh kerana kita sudah pun ada industri minyak dan gas, industri kereta adalah satu industri yang mampu memberi peluang pekerjaan yang banyak dan boleh membantu menghasilkan syarikat-syarikat tempatan untuk menjadi vendor.

Sebuah kenderaan mempunyai lebih dari 30,000 komponen dan jumlah vendor yang diperlukan sangat ramai.

Setiap vendor pula akan mempunyai pekerja-pekerja dan setiap syarikat akan membayar cukai.

Jumlah pendapatan negara berdasarkan automotif tidak akan lebih tinggi daripada pendapatan komoditi tetapi ia tetap satu jumlah yang besar.

Di dalam Proton sendiri, seramai 150,000 rakyat Malaysia menerima gaji bulanan; secara langsung atau tidak langsung.

Malah, lebih tepat dikatakan bahawa industri automotif mampu membantu pertumbuhan industri perumahan.

Saya juga hairan kenapa penulis tersebut hanya menuduh Proton kerana jumlah jualan Perodua hampir sekali ganda dari jumlah jualan Proton. Mungkin Proton menjadi puncanya, atau beliau fikir hanya Proton sahaja yang ada di Malaysia ini.

Pembelian rumah ialah satu tanggungjawab sosial, dan setiap orang mahukan rumah sendiri. Malah, rakyat mahukan tiada kawalan dari kerajaan dan industri perumahan dan sememangnya tiada kawalan harga dari mana-mana pihak.

Ia adalah industri terbuka dan hasilnya, harga meningkat naik kerana orang yang sama dari golongan yang sama terus membeli rumah tanpa ada had.

Pada pendapat saya, kenaikan harga perumahan itu sendiri perlu dikaji sebelum alasan lain dicari. Apakah benar nilai tanah setinggi itu? Ataupun pemaju hanya mahu mencari pembeli dari golongan yang sama?

Saya langsung tidak dapat melihat bagaimana pembelian kenderaan boleh menghalang seseorang dari membeli rumah. Mungkin kerajaan dan pihak lain boleh membuat kempen agar rakyat membeli rumah dahulu sebelum membeli kenderaan.

Jika itu yang penulis tersebut maksudkan, adakah beliau mahukan kerajaan mengawal harga kenderaan?

Bukankah kawalan harga kenderaan  atau sebarang bentuk kawalan adalah perkara yang dibenci oleh mereka itu?

Jadi soalan saya, siapa yang anda salak dan apa yang sebenarnya anda mahukan?

Recommended for you

4 Comments

  1. faris aiman

    Oct 2, 2016 at 11:52 am

    Mungkin kot … http://www.gerobokbuku.com/

  2. Nakip bin Joiniey

    Oct 2, 2016 at 11:12 pm

    Pemaju perumahan yang tamak haloba yang kebanyakannya bertutur dan menulis dlm bahasa bukan kebangsaan adalah punca sebenar harga rumah mahal menggila. Beli tanah harga halau penduduk asal sambil melupuskan kampung pusaka kaum asal. Jual balik jutaan ringgit untuk unit sekangkang kera. Jadi memang nyatalah penulis tersebut menyalak kepada jenisnya sendiri. Hati penuh hasad kepada perusahaan otomotif yang majoritinya orang kita jadi memang bukan pelik hanya proton yang dijadikan sasaran.

  3. kzm

    Oct 3, 2016 at 8:20 pm

    Kalo buat pun nanti ade yg komplen dekat sgt dgn rumah la. Jenayah meningkat la. Kalo buat jauh2 plak komplen jauh sgt.

  4. the stik

    Oct 4, 2016 at 10:27 am

    Proton punca prestasi so so Man Utd baru² ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *