"Kita akan buat tindakan susulan untuk mengesan lokasi serta pelakunya. Setiap perbuatan melanggar undang-undang, pasti akan menerima padah dan kesannya.
"Tindakan sita kenderaan dalam tempoh masa yang lama akan dikenakan terhadap pelaku, selain saman dengan kadar maksimum bagi memastikan aktiviti sama tidak berulang," katanya.
Beliau mengulas video tular di media sosial memaparkan sekumpulan pemandu kereta berlumba sesama sendiri di lebuh raya sehingga menimbulkan kemarahan netizen.
Rakaman video berdurasi empat minit lapan saat itu dipercayai rakaman kamera papan pemuka 'dashcam' sebuah daripada kenderaan yang sedang berlumba dengan beberapa kenderaan rakannya, selain memintas secara berbahaya di antara kenderaan lain yang berada di lebuh raya itu.
Dr. Bakri berkata, dalam usaha membendung kegiatan lumba haram, pihaknya akan mempertingkatkan rondaan dan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap samseng jalanan secara 'show off' atau terang-terangan di lebuh raya utama negara ini yang dilihat semakin berleluasa saban hari.
Selain itu, JSPT juga akan membuat lebih banyak sekatan jalan raya di kawasan-kawasan berisiko tinggi berlakunya kegiatan itu sebagai isyarat kepada 'kaki lumba haram' berfikir dua kali kerana menyedari tindakan mereka sudah dihidu lebih awal oleh pihak berkuasa.