Maklumat baharu ini datangnya daripada bos divisyen Special Vehicle Operations Land Rover, Michael van der Sande yang menjelaskan bahawa Land Rover Defender V8 yang baru diperkenalkan sebelum ini tidak ditepekkan dengan lencana SV atau SVX.
Ini kerana Defender V8 tersebut tidak mempunyai perubahan teknikal yang mencukupi untuk diklasifikasikan sebagai sebuah produk SV.
Menurut van der Sande lagi, Defender V8 SV yang akan dibangunkan tidak lama lagi sudah pun mendapat kelulusan daripada pihak atasan.
Beliau turut memberikan bayangan langkah Land Rover membeli jenama pakar off-road Bowler sebelum ini bakal memberikan impak positif kepada model Defender V8 SV.
Dengan spesifikasi yang tepat, Land Rover Defender V8 SV ini dilihat bakal memberikan saingan sebenar kepada Ford Ranger Raptor, serta model Mercedes-AMG G 63.
Syarikat Jaguar Land Rover walaubagaimanapun masih lagi belum memutuskan hala tuju yang bakal diambil untuk membangunkan jentera off-road Defender V8 SV itu, namun mereka mungkin sekali akan mengambil inspirasi daripada model konsep Discovery SVX yang diperlihatkan pada tahun 2017.
Disifatkan sebagai Land Rover yang paling ekstrem pada ketika itu, Discovery SVX menampilkan sistem suspensi jenis long-travel, tayar off-road yang lebih besar, sistem artikulasi roda, jarak kelegaan tanah yang ditinggikan, serta enjin V8 5.0 liter dengan unit pengecas lampau yang mampu menghasilkan 493 hp dan 625 Nm.
Namun, projek Discovery SVX itu dibatalkan kira-kira setahun selepas model konsep tersebut diperlihatkan atas sebab yang tidak diketahui, sehingga sekarang.
Sumber: Car Sales AU