Menurut laporan daripada Creative311 dan video daripada Instagram kystify, kelibat model ujian tersebut dikesan berada di Ann Arbor Michigan, berdekatan dengan fasiliti kejuruteraan Toyota.
Walaupun kelibatnya hanya dipaparkan dalam masa beberapa saat sahaja, ia sudah cukup untuk memberikan gambaran kasar terhadap generasi baharu 86/BRZ.
Apa yang boleh diperhatikan, perubahan besar boleh dilihat pada rekaan muka yang lebih bersih, mengingatkan kita kepada model konsep GRMN Sorts FR Concept Platinum 2013.
Manakala bahagian belakang pula menampilkan rekaan lampu yang lebih lebar, dengan rekaan bootlid yang menyamai GR Supra, serta kehadiran paip ekzos berkembar di bahagian tersebut.
Beberapa laporan terdahulu mencadangkan bahawa generasi baharu 86/BRZ bakal menerima enjin baharu berkapasiti 2.4 liter yang berupaya menghasilkan 220 PS dan 240 Nm, sistem transmisi manual atau transmisi automatik.
Selain daripada itu, terdapat ura-ura Toyota akan membuang penggunaan aksara GT dan digantikan dengan 'GR', menjadikan ia sebahagian daripada keluarga berprestasi tinggi Gazoo Racing selepas GR Supra dan GR Yaris.