Sedan di dalam segmen C, Hyundai Elantra 2021 kini merupakan model generasi baharu yang diperkenalkan selepas model Sonata, dan tidak seperti model terdahulu, ia banyak membawakan perubahan di bahagian luaran.
Dibangunkan atas platform serba baharu dengan dimensi yang lebih panjang, terutama jarak antara roda lebih 2 inci, lebih lebar dan lebih rendah - memberikan penampilan yang lebih sporty.
Dengan perubahan dimensi ini, Hyundai mampu memberikan rekaan bumbung yang lebih landai dan mengikuti trend fastback masa kini, sekaligus menjadikan Elantra sebuah 'coupe empat pintu'.
Malah, ruang kaki juga bertambah luas dengan kelebihan sebanyak 42.3 inci di hadapan dan 38 inci di bahagian belakang, manakala kedudukan penumpang juga direndahkan untuk memperoleh ruang kepala yang lebih besar.
Antara perubahan besar yang dibawakan pada Hyundai Elantra adalah rekaan papan pemuka yang berorientasikan pemandu, disumbangkan oleh penggunaan skrin paparan bersaiz 10.3 inci yang diletakkan bersebelahan dengan kluster digital bersaiz serupa.
Kedua-dua paparan ini disambungkan dengan sekeping kaca dengan rekaan yang agak moden, manakala 'skrin' kecil disebelah kiri tidak membawakan apa-apa fungsi.
Versi asas pula hadir dengan skrin yang lebih kecil bersaiz 8.0 inci namun reka bentuknya pula sedikit klasik dengan kehadiran dua unit tombol pelaras di kiri dan kanan skrin tersebut.
Dari segi keselamatan pula, aspek ini telah ditambah baik dengan kelengkapan termaju seperti brek kecemasan automatik, bantuan kekal laluan, serta sistem pemantauan tumpuan pemandu, manakala opsyen pula menawarkan ciri seperti pemantauan titik buta dan kawalan pemanduan adaptif.
Unit kuasa pula hadir dalam bentuk trenkuasa hibrid buat pertama kalinya, dimana enjin 1.6 liter dipadankan dengan sistem motor elektrik yang mampu menjana 139 kuasa kuda dan 264 Nm daya kilas, dengan pulangan bacaan penggunaan bahan api sekitar 4.7 liter/100 kilometer.
Sementara itu, model non-hibrid pula akan didatangkan dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter dengan 147 kuasa kuda dan 179 Nm yang dipadankan dengan transmisi CVT.