Hyundai Malaysia dedah gambar acah sedan Elantra 2021 - pelancaran dalam masa terdekat

oleh Mohamad Hanif|
Hyundai-Sime Darby Malaysia nampaknya aktif membawa masuk beberapa model terkini untuk pasaran Malaysia, dan selepas SUV Kona dan sedan segmen D Sonata, mereka kini mendedahkan gambar teaser sebuah sedan segmen C generasi baharu, Hyundai Elantra 2021.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Hyundai Elantra 2021 dilancarkan pada Mac yang lalu dan ia bakal memberikan saingan secara terus kepada model-model di dalam segmennya, seperti Honda Civic, Toyota Corolla, dan juga Mazda 3.

Hyundai Elantra 2021 dibangunkan atas platform serba baharu membawakan dimensi yang lebih panjang, lebih rendah dan lebih rendah yang memberikan penampilan sedan yang lebih sporti.

 


Rekaan luaran Elantra mengikut trend yang dibawakan pada kebanyakan sedan semasa, iaitu garis bumbung yang melandai ke belakang (rekaan fastback), dan ia merupakan model kedua Hyundai yang membawakan bahasa rekaan Sensuous Sportiness selepas Hyundai Sonata.

Dari segi luaran, imej tajam pada Elantra terdahulu telah pun dibuang dan digantikan dengan elemen yang lebih elegan, serta gril yang lebih besar yang diinspirasikan daripada Sonata.

Rekaan lampu belakang pula direka tajam dengan jalur LED bersambung melintangi bahagian tersebut.

 


Antara perubahan besar yang dibawakan pada Hyundai Elantra adalah rekaan papan pemuka yang berorientasikan pemandu, disumbangkan oleh penggunaan skrin paparan bersaiz 10.3 inci yang diletakkan bersebelahan dengan kluster digital bersaiz serupa.

Kedua-dua paparan ini disambungkan dengan sekeping kaca dengan rekaan yang agak moden, manakala 'skrin' kecil disebelah kiri tidak membawakan apa-apa fungsi.

Dari segi keselamatan pula, aspek ini telah ditambah baik dengan kelengkapan termaju seperti brek kecemasan automatik, bantuan kekal laluan, serta sistem pemantauan tumpuan pemandu, manakala opsyen pula menawarkan ciri seperti pemantauan titik buta dan kawalan pemanduan adaptif.

 


Unit kuasa pula hadir dalam bentuk trenkuasa hibrid buat pertama kalinya, dimana enjin 1.6 liter dipadankan dengan sistem motor elektrik yang mampu menjana 139 kuasa kuda dan 264 Nm daya kilas, dengan pulangan bacaan penggunaan bahan api sekitar 4.7 liter/100 kilometer.

Sementara itu, model non-hibrid pula akan didatangkan dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter dengan 147 kuasa kuda dan 179 Nm yang dipadankan dengan transmisi CVT.

 


Bagi mereka yang mahukan sedan yang lebih sporti, terdapat Elantra N Line 2021 yang dikuasakan oleh enjin 1.6 liter GDI turbo yang menghasilkan 201 kuasa kuda dan 265 Nm daya kilas, di mana kuasa itu tadi disalurkan kepada roda hadapan menerusi transmisi klac berkembar, atau manual enam nisbah kelajuan.

Menurut Hyundai, selain daripada enjin yang berkuasa, mereka telah menaiktaraf beberapa aspek mekanikal terhadap sistem suspensi Elantra supaya ia mampu menawarkan pemanduan yang lebih menyeronokkan.

Sama-sama kita nantikan berita selanjutnya berhubung pelancaran sebuah lagi sedan segmen C baharu untuk pasaran Malaysia dalam masa terdekat.

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Elantra generasi baharu ini mempunyai ukuran sepanjang 4,675 mm panjang, 1,825 mm lebar dan tinggi…
Berita Domestik
Sedan yang bakal memberikan saingan kepada model seperti Honda Civic, Toyota Corolla, dan Mazda3…
Berita Global
Sebagai sebuah model N Line, Elantra ini telah diberikan beberapa perubahan bagi rupa paras yang…