Hyundai Elantra 2021 - varian tunggal 1.6 liter, CBU Korea, ciri SmartSense!

oleh Mohamad Hanif|
Sebuah lagi model sedan yang dibawa masuk oleh Hyundai-Sime Darby Motor adalah Hyundai Elantra generasi baharu yang bakal dilancarkan menjelang akhir tahun ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Elantra generasi baharu ini mempunyai ukuran sepanjang 4,675 mm panjang, 1,825 mm lebar dan tinggi 1,430 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,720 mm, lebih panjang namun lebih rendah untuk penampilan sedan yang lebih sporti.

 


Ia merupakan model kedua yang membawakan bahasa rekaan Sensuous Sportiness serta elemen Parametric Dynamics yang menggunakan garis badan yang yang tajam, diikuti dengan rekaan gril hadpan seperti seakan potongan batu berlian.

Sedan dengan rekaan fastback ini membawakan ciri-ciri moden di bahagian luaran, seperti lampu utama LED dengan gandingan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang kombinasi LED dengan rekaan grafik berbentuk H, sebelum diakhiri dengan pemasangan rim aloi bersaiz 17 inci yang sporti.

 


Sementara ruang dalaman pula menampilkan rekaan papan pemuka yang memuatkan skrin kluster digital bersaiz 10.25 inci, dibantu dengan skrin infotainmen bersaiz 8 inci yang menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Hyundai turut menawarkan dua warna berbeza bagi upholsteri dalaman, iaitu warna hitam standard dan warna Light Grey, di mana warna kelabu itu tadi didatangkan pada tempat duduk serta 'ruang khusus' yang mengasingkan pemandu daripada penumpang hadapan.

 


Tempat duduk hadapan didatangkan dengan larasan lapan cara dengan dua sokongan tulang belakang, serta ciri ventilasi dan pemanasan yang turut didatangkan pada roda stereng dan juga cermin sisi.

Antara ciri kemudahan lain yang dimuatkan termasuklah slot pengecasan peranti pintar nirwayar, sistem pemantauan tekanan tayar, sistem pendingin hawa dua zon dengan tiga tetapan automatik, kawalan keselesaan suhu pintar bagi ruang pemandu, slot pengecasan USB, serta brek parkir elektronik dengan ciri auto hold.

Secara standard, Hyundai Elantra membawakan ruang kargo sebesar 474 liter di mana ia boleh diperbesarkan dengan melipat tempat duduk baris kedua dengan nisbah 60:40.

 


Selari dengan persaingan yang ditunjukkan oleh sedan segmen C yang lain, Hyundai Elantra turut dipertingkatkan dengan ciri keselamatan Hyundai SmartSense yang merangkumi ciri seperti Bantuan Kekal Laluan, Amaran Pelanggaran Hadapan, Amaran Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, Amaran Penumpang Belakang, serta Amaran Tumpuan Pemandu.

Varian tunggal yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia didatangkan dengan enjin Smartstream G1.6 aspirasi natural yang menghasilkan 121 kuasa kuda dan 154 Nm daya kilas yang dipadankan dengan transmisi CVT Hyundai yang digelar sebagai Intelligent Variable Transmission (IVT).

Ia mampu memecut sepantas 10.4 saat dari 0-100 km/j dan memberikan pulangan bacaan penggunaan bahan api sekitar 5.6 liter untuk setiap 100 km.

 


Harga jualan anggaran bermula dari RM1XX,888 dan harga rasmi hanya akan diumumkan menjelang pelancaran sebenar yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan Disember ini.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Sedan yang bakal memberikan saingan kepada model seperti Honda Civic, Toyota Corolla, dan Mazda3…
Berita Domestik
Hyundai Elantra 2021 dilancarkan pada Mac yang lalu dan ia bakal memberikan saingan secara terus…
Berita Global
Sebagai sebuah model N Line, Elantra ini telah diberikan beberapa perubahan bagi rupa paras yang…