Contoh yang dibawakan kali ini datangnya daripada Brabus dengan sebuah trak pikap yang dibangunkan daripada Mercedes-AMG G 63.
Brabus 800 Adventure XLP merupakan sebuah G-wagen G 63 AMG yang ditambah bed pikap di bahagian belakang, dan enjin asal 4.0 liter bentangan V8 telah ditala kembali supaya mampu menghamburkan 789 kuasa kuda dan 1,000 Nm!
Untuk menguasai jalanan off-road yang lebih sukar, Brabus telah menggantikan penggunaan gandar asal kepada gandar jenis portal, manakala tayar all-terrain 22 inci turut dipasang untuk memenuhi tujuan tersebut.
Menurut perangkaan, Brabus 800 Adventure XLP mampu memecut sepantas 4.8 saat dari 0-100 km/j dan kelajuan maksimum dihadkan kepada 210 km/j sahaja.
Sebut pasal bed pikap itu tadi, Brabus terpaksa memanjangkan jarak antara roda sebanyak 50 cm, menjadikan model ini memiliki dimensi 5.31 meter panjang, lebih panjang berbanding G 63.
Struktur bed kargo diperbuat daripada keluli manakala bahagian sisi pula diperbuat daripada gentian karbon untuk menjimatkan berat sedia ada.
Ia ditambah lagi dengan bullbar yang menampilkan cangkuk tunda terbina dalam, serta pemasangan rak kargo di bumbung untuk ruang ekstra.
Ruang kabin Brabus ini meneruskan elemen yang terdapat pada G-Class, namun dengan kehadiran kulit perang gelap yang digelar sebagai Burned Oak, headliner daripada Alcantara hitam, manakala bahagian tengah tempat duduk dan panel pintu pula menerima jahitan berbentuk berlian.
Sebagai tambahan, Brabus turut melengkapkan model 800 Adventure XLP dengan sebuah dron Wingcopter untuk kegunaan pemilik ketika melakukan aktiviti luar.