Menghampiri akhir kitaran tipikal sesebuah model, Subaru nampaknya sudah pun bersedia untuk memperkenalkan generasi baharu Levorg menerusi penampilan Subaru Levorg Prototype 2020 di Tokyo Motor Show 2019.
Dari segi luaran, rekaan secara keseluruhannya tidak banyak berubah, namun menurut Subaru, platform yang digunakan adalah baharu sepenuhnya, terima kasih kepada Subaru Global Platform yang kini menjadi asas kepada Impreza generasi baharu.
Ikut kata Subaru, mereka kini sedang membangunkan sebuah trenkuasa empat silinder bentangan boxer berkuasa turbo dan memiliki kapasiti sebesar 1.8 liter suntikan terus.
Tiada sebarang angka rasmi dikeluarkan oleh Subaru, namun mereka mendakwa enjin baharu ini bakal memberikan pengedaran kuasa dan tahap kecekapan yang lebih seimbang.
Sebagai perbandingan, Subaru Levorg sedia ada ditawarkan dua trenkuasa berbeza, masing-masing enjin boxer berkapasiti 1.6 liter turbo (170 PS/250 Nm) dan 2.0 liter turbo (296 PS/400 Nm) dipadankan dengan Lineartronic CVT dan pacuan semua roda.