Lynk & Co kini merupakan syarikat automotif paling pesat membangun di dunia dengan kejayaan mereka menjual lebih daripada 120,000 unit kenderaan tahun lalu.
Angka tersebut mungkin tidak bermakna apa-apa sekiranya dibandingkan dengan syarikat yang sudah lama wujud, namun bagi Lynk & Co yang baharu sahaja wujud kurang daripada tempoh tiga tahun, ia satu angka yang cukup menakjubkan.
Apatah lagi di China sahaja, Lynk & Co sudah pun mempunyai lebih daripada 220 pusat pameran bagi memberikan liputan yang lebih meluas kepada pasaran di sana.
Sebagai sebuah syarikat yang baharu ditubuhkan oleh Geely dan Volvo, amat difahami mereka mempunyai model jualan yang amat terhad, iaitu SUV 01 dan juga crossover 02.
Namun, menurut perancangan, mereka bakal memperkenalkan beberapa buah model lagi iaitu sedan 03, hatchback 04 serta SUV Coupe 01 demi memenuhi kehendak pasaran yang pelbagai.
Selain di China, Lynk & Co juga kini sedang merancang untuk meluaskan pengaruh di peringkat global, bermula dri Eropah pada tahun 2020, selain memasuki pasaran Amerika Syarikat.
Malah, di Malaysia juga berkemungkinan besar jenama ini bakal bertapak melihatkan kepada kemunculan tiga buah model utama SUV 01, crossover 02 dan sedan 03 dikesan sedang diuji di jalan raya, selain daripada desas-desus yang menyatakan ia bakal menyertai projek kereta nasional 3.0.