Menurut CEO Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings, Dato' Samson Anand George berkata, Kia Stinger ini dijangka bakal menaikkan semula imej jenama Kia serta menjadi tanda aras kepada kesemua kenderaan Kia pada masa akan datang, selaras dengan motto Kia "The Power to Surprise".
Dengan rekaan fastback yang menarik perhatian, garisan bumbung telah direka semula bagi memberikan elemen aerodinamik yang membenarkan pengaliran udara yang lebih baik di samping mengekalkan elemen estetika yang tersendiri.
Profil aerodinamik Kia Stinger ini diteruskan lagi dengan garisan badan yang sedikit meruncing ke belakang serta ciri insang yang diwujudkan pada arca roda hadapan bagi mengurangkan rintangan udara semasa bergerak di atas jalan.
Penampilan stance Kia Stinger yang agak agresif ini dibantu dengan gril hadapan ikonik berbentuk hidung harimau (tiger-nose), lampu hadapan jenis LED sepenuhnya dikombinasikan dengan bentuk sarang lebah yang dilayangkan dengan chrome gelap menampakkan lagi imej luaran yang serba premium.
Pihak Naza Kia membawa masuk dua varian Kia Stinger iaitu versi enjin empat silinder 2.0 liter twin-scroll turbo Theta II TGDI yang menghasilkan 251 kuasa kuda dan 353 Nm kuasa tork yang masuk seawal 1,400 sehingga 4,000 rpm, membolehkan versi ini memecut dari pegun sepantas 6.0 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j.
Varian tertinggi pula menerima khidmat enjin 3.3 liter bentangan V6 Lambda TGDI yang menghamburkan 365 kuasa kuda dan 510 Nm kuasa tork yang masuk pada julat putaran enjin 1,300 sehingga 4,500 rpm dengan pecutan sepantas 4.9 saat dari 0-100 km/j.
Kuasa daripada kedua-dua enjin tersebut kemudian digandingkan dengan penggunaan kota gear automatik generasi kedua yang dibangunkan secara in-house dengan lapan nisbah kelajuan sebelum menyalurkan kuasa yang diperlukan kepada roda belakang.
Transmisi terkini ini juga memperlihatkan buat pertama kalinya penggunaan ciri Centrifugal Pendulum Absorber (CPA) torque converter pada varian 2.0L GT-Line - teknologi yang biasa digunakan pada arena aviasi dan enjin perlumbaan - bertujuan untuk mengurangkan gegaran torsional daripada sitem pacuan.
Dibangunkan daripada kereta konsep GT dan menerusi penalaan yang berterusan pada litar Nurburgring, Kia Stinger mampu mengharungi pelbagai jenis permukaan jalan terima kasih kepada ciri Vehicle Dynamic Control (VDC) dengan sistem Dynamic Torque Vectoring Control yang mampu memberikan tindak balas berdasarkan input pemandu dan keadan jalan, seterusnya meminimumkan understeer dan memberikan keyakinan kepada pemandu untuk mengemudi dengan penuh kawalan tidak kira apa jua cuaca yang mendatang.
Selain daripada itu, ciri keselamatan standard yang hadir pada Kia Stinger termasuklah Hill-Start Assist Control (HAC), sistem brek anti kunci, sistem kawalan cengkaman (TCS), sistem kawalan brek ketika membelok (CBC), amaran pelanggaran titik buta (BCW), amaran pelanggan lintasan trafik arah belakang serta tujuh buah beg udara, melayakkan Kia Stinger memperoleh penarafan lima bintang penuh daripada Euro NCAP.
Sistem hiburan tidak dilupakan oleh Kia apabila Stinger ini hadir dengan sistem audio daripada Harman Kardon yang menampilkan 15 unit speaker di sekeliling kabin bagi memberikan pengalaman audio yang serba premium kepada para penumpang.
Kia Stinger hadir dengan empat pilihan warna eksklusif seperti HiChroma Red, Deep Chroma Blue, Panthera Metal dan Aurora Black.