VW Golf R-Line 1.4 TSI Mk 7.5 - Nadi kecil berjiwa besar!

oleh Mohamad Hanif|
Beberapa bulan yang lalu, Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) telah melancarkan Golf varian R-Line sebagai pelengkap kepada barisan Golf yang dijual di Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Harga jualan dengan SST pula bermula dari RM173,390 atas jalan tanpa insurans, menjadikan ia satu pilihan yang sukar untuk ditolak memandangkan Golf R Line ini sebenarnya sebuah pakej kelajuan yang serba lengkap walaupun cuma hadir dengan enjin yang lebih kecil berbanding abang-abang sado Golf GTI dan Golf R.

Kami diberikan tempoh selama empat hari untuk menguji varian Golf R-Line dengan layangan warna Tumeric Yellow ini sama ada ia benar-benar boleh digelar sebuah Golf yang disegani ramai.

 


Kita mulakan dengan bahagian luaran di mana terdapat beberapa elemen R-Line diberikan bagi membezakan antara Golf R-Line dan juga Sportline seperti bumper hadapan dan belakang, gril radiator, spoiler belakang, trim ekzos faux trapezoid berkembar, rim 'Singapore' (kenapa Singapura ya?) bersaiz 17 inci serta lampu hadapan jenis LED sepenuhnya sebelum diakhiri dengan lampu nyalaan siang jenis LED yang macho itu. 

Manakala bahagian belakang pula menampilkan lampu utama jenis LED dengan lampu isyarat membelok dinamik menjadikan penampilan Golf R Line ini lebih umphh berbanding kereta pesaing, terutama ketika menghilangkan diri dari pandangan lawan pada waktu malam. 
 


Turut diberikan perhatian ialah Dynamic Cornering Lights yang akan menyala mengikut arah stereng dipulas, memberikan medan penglihatan yang lebih luas kepada pemandu terutama ketika mengendalikan kenderaan di kawasan yang gelap. 

Secara keseluruhannya, pakej luaran yang ditawarkan pada Golf R-Line ini tampak lebih tajam dan sporty malah ia juga tidak perlu malu untuk diletakkan bersebelahan dengan abang-abangnya ketika sesi Teh Tarik hujung minggu di kedai mamak. 
 


Memasuki ruang dalaman kabin pula, pemandu akan disambut dengan rekaan kabin yang tampak moden dan ringkas, tempat duduk balutan kulit upholstery R-Line Vienna, paparan meter kluster Active Info Display bersaiz 12.3 inci dan juga sistem infotainmen skrin sesentuh bersaiz 8.4 inci yang mesra pemandu (driver oriented).

Selain daripada memberikan hiburan kepada para penumpang di dalam kabin yang serba senyap ini, skrin paparan ditengah juga turut memuatkan beberapa info kritikal semasa seperti Tire Pressure Loss Indicator (TPLI), sistem bantuan parkir ParkPilot serta membolehkan pengguna menghubungkan telefon pintar menerusi sambungan Android Auto, Apple CarPlay dan Mirrorlink. 

Paparan yang diberikan juga agak baik walaupun penggunaan yang kerap ketika di bawah cuaca panas terik tanpa memberikan gangguan silau yang berlebihan. 
 


Bagi memastikan keselamatan para penumpang lebih terjamin, Volkswagen tetap menawarkan pakej perlindungan yang serba lengkap seperti tujuh unit beg udara, sistem ABS dengan BA dan EBD, Anti Skid Regulator, ESC, Hill Hold Control, Proactive Occupant Protection System (POPS), cagak ISOFIX serta amaran pemakaian tali pinggang keledar. 
 


Atas kertas, Golf R-Line ini dikuasakan enjin empat silinder EA211 1.4 liter (sesaran 1,395 cc) TSI dengan induksi pendesak turbocharger mampu menghasilkan 148 hp dan 250 Nm daya kilas yang masuk penuh diantara julat putaran enjin 1,500 rpm sehingga 3,500 rpm. 

Kuasa tersebut disalurkan kepada pacuan roda hadapan menerusi penggunaan transmisi DSG tujuh nisbah kelajuan sebelum diterjemahkan kepada masa pecutan 8.2 saat dari 0-100 km/j. 

Mungkin pada pengamatan sekilas pandang, ia tampak biasa-biasa sahaja, namun apabila Golf R-Line ini diletakkan beraksi di atas jalan raya utama, karakter jantannya mula menyerlah sedikit demi sedikit. 
 


Pada kelajuan rasmi lebuhraya (faham-faham sahaja ya), kuasa pecutan yang diberikan sememangnya mendatangkan keghairahan seumpama perangai orang yang malas bekerja dihulurkan duit botingkek-tingkek bak kata Waris, ditambah pula dengan keberkesanan kotak gear DSG ikonik memberikan prestasi yang cukup mempersonakan. 

Manakala ketika memotong lori tangki dan kereta kebangsaan yang bergerak perlahan di jalan kampung dan kawasan Bukit Putus, kuasa yang diperah sememangnya tidak putus malah di jalan yang sama, penulis yang sebelum ini agak gentar untuk memotong tidak lagi merasakan perasaan sedemikian disebabkan keyakinan yang diberikan oleh enjin 1.4 liter turbo ini. 

Tidak salah untuk penulis katakan, walaupun sesaran enjin ini kecil, gandingannya dengan transmisi DSG ini sememangnya berhantu kerana penulis sehingga kini masih terbayang-bayang kuasa pecutan yang diberikan oleh Golf R-Line ini. 
 


Dari sudut pengendalian Golf R-Line di selekoh-selekoh berkelajuan tinggi ini wajar dipuji kerana walaupun tidak sejitu abang-abang GTI dan R yang lebih kepada aspek prestasi, ia masih memberikan tindak balas yang mencukupi ditambah pula dengan kurang olengan badan dirasakan ketika meratah selekoh. 

Sistem suspensi McPherson Strut di hadapan dan Multilink di bahagian belakang sebenarnya telah ditala untuk lebih keselesaan, walaupun ada ketikanya penulis mengubah tetapan kepada mod pemanduan Sport, namun penumpang di belakang masih kekal selesa tidur dengan nyenyaknya. 
 


Driving Mode Selection yang hadir pada Golf R Line ini memberikan empat mod pemanduan yang berbeza mengikut keperluan iaitu Eco (ektra sopan), Normal (sopan), Sport (jiwa kelajuan) dan Individual. 
 


Walaupun ia dikategorikan sebagai sebuah kereta yang laju, ia sebenarnya masih mampu memberikan pulangan yang lebih kepada duit poket anda.

Tidak percaya? Sepanjang empat hari penulis memandu, Golf R-Line ini masih memberikan bacaan penggunaan bahan api yang agak baik untuk kereta di dalam segmennya, di mana penulis mampu mendapat bacaan serendah 5.9 liter/100 km
 

fc


Sekiranya diterjemahkan ke dalam penggunaan jarak yang nyata, setangki penuh 50 liter bahan api mampu memberikan jarak sejauh kira-kira 800 km sahaja sebelum sistem notifikasi memberikan mesej supaya kereta laju ini ditambah semula bekalan tenaganya. 

Suka untuk diingatkan bahawa bacaan tersebut diambil kira melihatkan kepada penggunaan selama empat hari meliputi perjalanan dalam bandar, luar bandar serta fasa pecutan di atas lebuhraya Malaysia yang serba lengkap dengan plaza tol dan kamera perangkap kelajuannya. 
 


Kesimpulan yang boleh dibuat setelah lebih kurang empat hari memandu Golf R-Line 1.4 TSI ini, ia sebuah hatchback yang dikhususkan untuk kegunaan harian, dan diberikan suntikan adrenalin bagi mereka yang inginkan perasaan kelajuan sekali sekala. 

Secara jujurnya, hati penulis agak keberatan untuk memulangkan kembali kereta berwarna Tumeric Yellow ini oleh kerana pakej kuasa yang tidak keterlaluan dan mudah untuk dikawal walaupun anda sebenarnya bukanlah seorang yang suka untuk mengacah supercar Malaysia berwarna kuning di atas laluan kanan lebuhraya. 

Ia juga menawarkan pakej praktikaliti yang sesuai untuk digunakan seharian. Boot sebesar 380 liter itu boleh diperluaskan kepada saiz menghampiri 1270 liter, terima kasih kepada konfigurasi tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan nisbah 60:40, cukup besar untuk anda memuatkan barangan hasil membeli belah ketika hari gaji. 
 


Malah, dengan kapasiti tempat duduk lima orang, anda mampu membawa ahli keluarga dengan selesa tanpa perlu risau rungutan akibat tetapan sistem gantungan yang tidak sesuai dengan jiwa kelajuan anda, dan seperti mana yang anda semua maklum akan kondisi jalan raya Malaysia yang cemerlang ini.

Dan dengan tanda harga RM173,390 atas jalan tanpa insurans termasuk SST, anda tidak perlu risau kerana VPCM memberikan jaminan daripada pengeluar selama lima tahun, bantuan tepi jalan selama lima tahun serta servis percuma tiga tahun. 

Bahkan dengan rekaan yang serba minimalis, ringkas tanpa sebarang kit badan yang merapu-rapu, resipi asal Golf R-Line ini sememangnya sudah sedia sporty dan sedia untuk mengusik beberapa model yang acah jiwa kelajuan di atas jalan raya sana.

Adakah ini masih tidak cukup untuk anda? 

Tepuk dada, tanyalah poket!

 

Spesifikasi ringkas VW Golf R-Line 1.4 TSI


Enjin: Empat silinder sebaris 1.4 liter TSI turbocharged
Kuasa: 148 hp/250 Nm (1,500-3,500 rpm)
Transmisi: DSG 7 nisbah kelajuan (direct shift klac kering)
Rim aloi: 17" Singapore
Kemasan kulit Vienna 
Keluasan boot: 380 liter
Paparan Info Aktif bersaiz 12.3"
Paparan skrin media: 8"
Lampu hadapan dan belakang dari jenis LED dan pantulan lampu membelok dinamik
CIri keselamatan: 7 beg udara, ABS, BA dan EBD, Anti Skid Regulator, ESC, Hill Hold Control, Proactive Occupant Protection System (POPS), cagak ISOFIX, amaran pemakaian tali pinggang keledar. 
Harga (SST): RM173,390 tanpa insuran dan cukai jalan.

Berita Berkenaan

Berita Global
Walaupun boleh dikatakan sebagai salah seorang pelumba yang berjaya, sepanjang karier Formula 1,…
Berita Global
Sebanyak lapan generasi Golf telah pun dihasilkan, kesemuanya mempunyai kejayaan dan peminat…
Berita Global
Menurut CEO Volkswagen Passenger Car, Thomas Schäfer dalam satu hantaran di LinkedIn mengumumkan…