Sebanyak lapan generasi Golf telah pun dihasilkan, kesemuanya mempunyai kejayaan dan peminat tersendiri.
Menurut CEO Volkswagen Passenger Cars, Thomas Schafer, model Golf untuk generasi kesembilan bakal didatangkan dengan kuasa elektrik, selaras dengan rancangan syarikat itu untuk mengekalkan nama Golf mengikut perubahan ke arah kenderaan sifar pelepasan.
Pengeluaran VW Golf MK8 dijangka bakal dihentikan sekitar tahun 2027-2028, model Golf dikatakan bakal menjadi sebahagian dari barisan EV Volkswagen ID.
Ia pastinya sesuatu yang mengecewakan peminat kereta dengan enjin pembakaran dalaman tulen untuk melihat salah satu ikon dalam dunia permotoran menggunakan nadi elektrik.

ID merupakan nama yang digunakan Volkswagen untuk model EV yang mereka hasilkan. Singkatan ID bermaksud "intelligent design, identity, and visionary technologies".
Thomas Schafer berkata pada Autocar, "Kami memiliki nama jenama ikonik, iaitu Golf dan GTI. Ianya sesuatu yang gila untuk membiarkan nama itu bersara dan mati. Kami akan berpegang kepada logik ID, tetapi model ikonik akan membawa nama."
Beliau juga menjelaskan bahawa Golf tidak akan menjadi pengganti untuk Volkswagen ID 3, hal ini kerana kedua-dua model itu dianggap sebagai kereta yang berasingan dari segi saiz dan kedudukan.
Jika dilihat pada barisan model EV Volkswagen sedia ada, Golf generasi baharu akan diletakkan di antara model kereta bandar ID 2 dan ID 3 pada masa akan datang.
Golf baharu juga mungkin bakal dibina menggunakan platform Scalable Systems Platform (SSP), menggantikan platform MEB EV sedia ada pada tahun-tahun akan datang.
Sumber: Autocar
Penulis: Ahmad Danial Yasin