Volkswagen ID. Buzz diperkenal, van nostalgik dibawa ke tahun 2022!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Volkswagen ID. Buzz
Volkswagen ID. Buzz
Pengeluaran Beetle dihentikan pada tahun 2019 dan Volkswagen tidak lagi mempunyai model ikonik di pasaran kecuali van Transporter yang juga mempunyai sejarah panjang.

Walaupun mempunyai sejarah panjang, Transporter hari ini terasa jauh dari Kombi klasik dan buat peminat ada buah tangan terbaru dari Jerman.

Selepas beberapa siri maklumat acah (teaser) Volkswagen akhirnya memperkenalkan ID. Buzz dan ID. Buzz Cargo.

Van itu membawa pengaruh kuat Kombi dan selari dengan perubahan teknologi digerakkan nadi elektrik.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Reka bentuk ikonik, bentuk V di depan

 

Volkswagen ID. Buzz

 

Dari segi reka bentuk, memang terang dan jelas ID. Buzz membawa DNA Kombi. Perkadaran ID. Buzz nampak berisi dan padat di mana van ini mudah menarik perhatian.

Sebagai sebuah kenderaan elektrik, ID. Buzz dibangunkan dari platform Modular Electric Drive Kit (MEB).

Walaupun dalam bentuk moden ID. Buzz masih mengekalkan gaya tak lekang masa (timeless) dan wajar jika van ini diberi anugerah reka bentuk tahun 2022.

Selain bentuk keseluruhan, dua ciri utama yang dibawa dari Kombi klasik ialah panel depan bentuk V dan pilihan warna dua tona.

Bentuk V di depan nampak seperti wajah yang sedang senyum.

 

Volkswagen ID. Buzz

 

Pada bahagian dalam, bentangan dan susun atur Kombi ringkas dan tidak rumit. ID. Buzz juga begitu dengan lima orang boleh duduk dan ruang bagasi sehingga 1,121 liter.

Jika kerusi baris kedua dilipat, ruang muatan meningkat kepada 2,205 liter.

Untuk model I.D Buzz Cargo pula ruang isian adalah seluas 3.9 meter persegi dan boleh memuatkan dua palet (saiz Eropah) secara menegak.

 

Volkswagen ID. Buzz

 

Dari segi dimensi, jarak roda kedua-dua ID. Buzz dan ID. Buzz Cargo ialah 2.98 meter, panjang 4.71 meter dan dua ukuran tinggi iaitu 1.937 meter atau 1.938 meter berdasarkan varian.

Lebar pula 1,98 meter dan radius pusingan ialah 11.1 meter.

Seperkara yang menarik adalah pekali seretan (CoD) iaitu 0.285 untuk ID. Buzz dan 0.29 bagi ID. Buzz Cargo.

Faktor aerodinamik penting buat EV untuk penjimatan tenaga dan meningkatkan jarak gerak.

Motor elektrik, pacuan belakang

 

Volkswagen ID. Buzz

 

ID. Buzz dan ID. Buzz Cargo dibekalkan bateri 77 kWh (tenaga kasar 82 kWh) dan motor elektrik 150 kW yang memacu gandar belakang.

Bateri ditempatkan pada lantai jenis sandwic dan sistem pacuan elektrik dipakejkan untuk pembahagian berat yang baik dan pusat graviti rendah.

Dua faktor itu juga menyumbang kepada pengendalian dan kelincahan kenderaan.

Bateri lithium ion ID. Buzz boleh dicas di rumah atau tempat awam dengan pengecas AC 11 kW.

Nak lagi cepat? Guna penyambung plug CCS di stesen pengecasan pantas DC dengan kuasa 170 kW.

Pengecasan itu hanya memerlukan 30 minit untuk menambah tenaga dari 5 peratus kepada 80 peratus.

Teknologi keselamatan

 

Volkswagen ID. Buzz Cargo

 

Satu ciri canggih dan standard pada ID. Buzz dan ID. Buzz Cargo ialah sistem amaran Car2X.

Sistem itu menggunakan isyarat dari kenderaan lain dan infrastruktur pengangkutan bagi mengenalpasti bahaya dalam masa nyata (real time).

Lagi kelengkapan standard ialah Bantuan Depan untuk brek kecemasan dan Bantuan Lorong bagi membantu mengekalkan laluan.

Buatan Jerman

 

Volkswagen ID. Buzz Cargo

 

Buat masa sekarang ID. Buzz dikeluarkan di kilang Kenderaan Komersial Volkswagen yang terletak di Hannover, Jerman.

Majoriti modul sistem pemanduan elektrik juga dibuat di Jerman dan mengikut standard tertinggi oleh bahagian Komponen Kumpulan Volkswagen.

Kilang di Hannover sebenarnya adalah satu daripada lokasi pemasangan teknologi tinggi milik Kumpulan Volkswagen untuk pengeluaran kenderaan elektrik.

Dijual di negara lain

 

Volkswagen ID. Buzz dan ID. Buzz Cargo

 

Beberapa negara Eropah adalah pasaran terawal untuk van ini dan jualan awal akan bermula pada bulan Mei.

Bagaimana pula negara lain? Volkswagen memaklumkan ID. Buzz bakal menyusul ke Amerika Syarikat dan Kanada.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut ahli lembaga penjualan dan pemasaran VW Commercial Vehicles, Lars Krause berkata, "Sebelum…
Berita Global
Menurut laporan daripada Automotive News Europe pada bulan lalu, jualan awal yang dibuat sudah…
Berita Global
Membawakan elemen retro daripada model T1 Microbus, ID. Buzz mempunyai ukuran dimensi sepanjang 4,…