Video: Proton Saga 1.5L MPI - Tribute dari Kota Tinggi

oleh HEZERI SAMSURI|
Proton Saga generasi pertama dilancarkan pada 9 Julai 1985 dan ia adalah permulaan Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar kenderaan.

Sebenarnya idea untuk menghasilkan kenderaan Malaysia ini timbul seawal tahun 1979 apabila Tun Mahathir yang ketika itu memegang jawatan Menteri Perdagangan dan Industri.

Proton Saga generasi pertama dibina berdasarkan platform Mitsubishi Lancer Fiore tahun 1983 dengan dua enjin ditawarkan - 1.3L dari 4G13 Orion II dan 1.5L dengan enjin 4G15 dari Mitsubishi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Semasa pelancarannya, hanya 700 unit yang terbina dan ia habis terjual dalam sekelip mata. Harga untuk Saga 1.3L bermula dari RM17,575 dan model 1.5L berharga dari RM19,005 - termurah di pasaran.

Saga juga menjadi model eksport untuk Proton, dan negara pertama di luar Asia Tenggara yang menerimanya ialah Bangladesh dalam tahun 1986.

 

 

Proton juga pernah mencuba untuk memasarkan Saga ke Amerika Syarikat dalam tahun 1986 tetapi tidak mendapat kelulusan dari pihak berkuasa di sana, mengakibatkan kerugian besar kepada syarikat nasional itu.

Namun begitu, pasaran eksport Saga nyata berhasil apabila negara-negara seperti New Zealand, Brunei, Malta dan Sri Lanka menerima kenderaan itu dengan baik. 

Pada tahun 1986, Proton sudah menghasilkan 10,000 unit Saga. Tahun 1987 melihat pelancaran model sporty Saga Aeroback diperkenalkan. 

 

 

Model Aeroback masih menggunakan enjin yang sama dari Mitsubishi tetapi rekabentuk ekornya unik untuk Proton sahaja.

Proton mula mengeksport Saga ke United Kingdom dalam tahun 1988 di British International Motorshow di mana ia menggondol tiga anugerah - termasuk Top 10 Best Cars untuk pameran itu.

Saga perlu lulus ujian homologasi oleh UK sebelum dibenarkan dijual di sana. Lebih dari 400 modifikasi dilakukan dan ia diuji sejauh 1,600 km di sana.

 

 

Kerana itu juga, papan pemuka Saga menggunakan papan pemuka asal Lancer Fiore kerana komponen itu sudah lulus ujian homologasi UK.

Dan dalam tahun 1990, Proton memperkenalkan Saga Megavalve dengan enjin 12-injap untuk menggantikan enjin 8-injap.

Saga Megavalve dilancarkan di UK dalam tahun 1991 dan enjin-enjin itu menghasilkan 77 hp (1.3L) dan 77 hp (1.5L).

 

 

Saga milik Mohd Azhar Mohd Shis dari Felda Kledang ini merupakan tribute beliau kepada model legenda tersebut.

"Ini kereta pertama kita. Saya hendak tunjukan ia masih relevan jika kita pandai menjaganya," ujar Azhar atau lebih gemar dipanggil dengan nama manjanya, Har.

Model Saga milik Har ini sebenarnya adalah unit yang mengikut spesifikasi UK. Kerana itu ia datang dengan enjin 1.5L 12-injap dan sistem suntikan bahan api. 

 

 

Papan pemuka juga menggunakan papan pemuka asal Mitsubishi, yang jelas nampak lebih bergaya dan mengingatkan penulis kepada model-model Mitsubishi Tredia dan Mitsubishi Galant Super Touring.

"Semasa saya membeli Saga ini, keadaan bumbung dan kesemua pintu sudah teruk dijamah kanser karat," terang Har.

"Saya gantikan kesemua komponen itu, termasuk hud, but dan bamper. Untuk hud enjin itu, saya tambah liang udara yang saya buat sendiri," ujar anak peneroka yang kini menjadi pengusaha bengkel berjaya.

 

 

Antara modifikasi yang telah dilakukan oleh beliau ialah roda aloi TE37 bersaiz 15-inci yang dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza RE003.

Sistem brek diambil dari Mitsubishi Lancer Evo 3 dan bahagian ekor ditambah dengan spoiler.

"Lampu belakang pula ialah lampu albino," sambungnya sambil menunjukan lampu dengan lensa putih itu.

"Untuk menampakan gaya nostalgik Saga ini, saya pasang mud-flap yang membuatkan orang-orang tua teruja," kata Har sambil menjeling rambut putih penulis.

 

 

Sistem gantungan pula diganti dengan spring dan peredam bolehlaras dari jenama Gab.

Enjin 1.5L itu mengalami proses pengubahsuaian agar kembali bermaya - port & polish untuk kepala blok dilakukan, termasuk piston yang bersaiz besar sedikit digunakan.

Ada juga beberapa komponen dari enjin 1.6L 4G18 Proton Waja digunakan. Klac pula diambil dari Galant Super Touring.

 

 

"Cukup la untuk menggeli-geli di atas lebuhraya," Har menjawab sambil tersenyum simpul.

Segala modifikasi dilakukan di bengkel beliau sendiri - Haa Spray.

Saksikan video VLOG Careta tentang Proton Saga Azhar ini.
 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, penganjur program tersebut turut diminta supaya menitikberatkan pematuhan jalan…
Berita Domestik
"Ahli-ahli politik perlu mempunyai iltizam dalam memastikan kejayaannya (dari segi penggubalan…
Berita Global
Selain daripada itu, Toyota turut mempamerkan konsep ubahsuai bagi dua model pentingnya, iaitu GR…