Peserta RXZ Member 6.0 diingatkan tidak lakukan kesalahan ekstrem termasuk mengubah suai ekzos kenderaan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Semua peserta program himpunan motosikal RXZ Member 6.0 yang diadakan September depan diingatkan supaya mematuhi peraturan ditetapkan selain tidak melakukan kesalahan ekstrem termasuk mengubah suai ekzos kenderaan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, sekiranya peserta program tersebut mematuhi undang-undang sedia ada maka pihak berkuasa tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas mereka.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Beliau berkata, penganjur program tersebut turut diminta supaya menitikberatkan pematuhan jalan raya sebagaimana telah ditetapkan.

"Sebelum ini, kita (JPJ) memang adakan pertemuan dengan pihak penganjur mengenai garis panduan berhubung perjalanan program dan peraturan-peraturan telah digariskan.

"Jadi untuk penganjuran kali ini sekali lagi kita mengingatkan pada peserta-peserta yang datang ke Terengganu supaya tidak melakukan beberapa kesalahan seperti mengubah suai saiz nombor plat kepada terlalu kecil dan mengubah suai paip ekzos motosikal menjadikan bunyi yang sangat bising sehingga mengganggu ketenteraman orang awam.

"Kita mengalu-alukan program itu diadakan namun berharap kesemua peserta yang hadir agar mematuhi peraturan ditetapkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Zulkarnain menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa tindakan menahan dan menyita motosikal peserta Himpunan RXZ Members mempunyai agenda tertentu untuk mengenakan saman kepada mereka.

"Lebih 40,000 yang menyertai program itu sebelum ini namun hanya kira-kira 1.34 peratus penunggang motosikal Yamaha RXZ yang dikenakan tindakan atas melakukan pelbagai kesalahan.

"Jadi tidak semua peserta yang datang ke program itu tidak mematuhi peraturan ditetapkan dan hanya segelintir individu yang gagal mematuhi undang-undang sedia ada.

"Kita adakan sekatan jalan raya untuk pastikan peserta program itu tidak melanggar peraturan ditetapkan selain mengelakkan mengganggu ketenteraman awam dengan bunyi ekzos yang bising serta mencegah daripada berlakunya kejadian kemalangan," jelasnya.

Walaupun pernah terpalit kontroversi, penganjuran program himpunan motosikal RXZ Member 6.0 akan diteruskan di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus pada 14 September depan.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Pengarah program, Mohamad Faizal Mat Ali menerusi platform media sosial RXZ Members - Official pada malam Khamis.

Sebelum ini, penganjuran program himpunan RXZ Member 5.0 yang diadakan di lokasi sama pada 8 dan 9 September 2023 menjadi isu apabila motosikal peserta ditahan pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan.

 

- berkumpul ramai-ramai sambil mengeratkan silaturrahim tak salah, cuma beringat ya jalan raya bukan litar berlumba atau melakukan aksi-aksi yang memudaratkan diri anda dan pengguna yang lain -

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, tindakan tiga lelaki berusia antara 52 hingga 54 tahun itu terbongkar melalui…
Berita Domestik
Menurutnya, rata-rata mereka tinggal di sekitar Balok dalam tempoh empat bulan hingga 18 tahun dan…
Berita Domestik
Pemandu bas berusia 51 tahun itu dalam aduannya mendakwa dia diarahkan memberhentikan basnya di…