Triumph Motorcycles Petaling Jaya merupakan pengedar rasmi kedua yang dibuka oleh Triumph Motorcycles Malaysia di bawah pengurusan Didi Group.

Pusat pengedar baharu itu merangkumi bilik pameran serba baharu bersama kemudahan bertaraf dunia, kakitangan yang terlatih di samping servis selepas jualan, dan khidmat pelanggan yang terbaik.
Sempena pelancaran cawangan Petaling Jaya itu, Triumph Motorcycles Malaysia turut mengumumkan harga bagi barisan model Triumph Street Triple 765, iaitu Street Triple 765 R ditawarkan dari RM59,900 dan Street Triple 765 RS dari RM73,900.

Secara ringkas kedua-dua versi tersebut dikuasakan dengan enjin 765 cc 3 silinder sebaris yang sama dengan keluaran kuasa sedikit berbeza.
Street Triple 765 R menghasilkan 118 HP, manakala Street Triple 765 RS menghasilkan 128 HP, dimana kedua-duanya menghasilkan 80 Nm.

Enjin pada model tersebut turut menerima kemaskini pada komponen seperti aci engkol, balancer dan transmisi baharu, dimana ia transmisi 6 kelajuan bersama ratio yang lebih pendek.
Kedua-duanya turut didatangkan standard dengan fungsi quickshifter dan kawalan cengkaman, bersama pilihan mod tunggangan Rain, Road, Rider, Sport, dan tambahan mod Track untuk versi RS.

Pada bahagian meter, Street Triple 765 R didatangkan dengan gabungan meter LCD dan TFT, manakala Street Triple 765 RS didatangkan dengan meter TFT penuh 5 inci.
Mereka di sekitar kawasan Lembah Klang boleh mengunjungi Triumph Motorcycles Petaling Jaya beralamat di Block I, Unit 11, Jalan PJU 1/37, Dataran Prima, Petaling Jaya untuk menyaksikan sendiri model sport naked itu.