Tiger Sport 660 direka untuk membawa kelebihan triple-powered Triumph dalam kategori motosikal pengembaraan kelas pertengahan, di mana ia menampilkan tahap spesifikasi tertinggi dan kos pemilikan terendah dalam kategorinya.
Tiger Sport 660 baharu memberikan keupayaan, prestasi, pengendalian dan gaya yang diperlukan untuk memperkenalkan penunggang generasi baru terhadap jenama Triumph.
Dari segi kuasa, Tiger Sport 660 didatangkan dengan enjin tiga silinder sebaris 660 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 79 HP dan 64 Nm, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dibantu oleh klac berbilang cakera serta klac assist/slipper.
Dari segi suspensi pula, ia menggunakan fork Showa 41 mm USD di depan dan penyerap hentak tunggal Showa monoshock RSU di belakang.
Bagi meningkatkan lagi keyakinan menunggang, Tiger Sport 660 turut dilengkapi angkup dua omboh Nissin dan rotor berkembar 310 mm di depan, serta angkup omboh tunggal Nissin dan rotor 255 mm di belakang, lengkap dengan sistem ABS.
Menampilkan berat sekitar 206 kg, Tiger Sport 660 didatangkan dengan tangki bahan api berkapasiti 17.2 liter, di mana ia mampu memberikan penggunaan bahan api serendah 4.5 liter/100 km.
Untuk menambahkan ciri moden, ia turut dilengkapi paparan meter TFT bersama sistem ketersambungan yang turut menampilkan ciri mode tunggangan (Road dan Rain).
Berada di bawah pengurusan baharu, Triumph Tiger Sport 660 telah diperkenalkan semula bertempat di acara AOS 2023 baru-baru ini bersama pakej dan harga yang dikemas kini.
Harga bagi Triumph Tiger Sport 660 kini ditawarkan bermula dari RM50,900 dan RM56,800 untuk pakej promosi aksesori yang merangkumi top box, mounting plate dan panniers.
Di bawah pengurusan baharu, harga tersebut turut ditawarkan bersama 2 tahun waranti (perbatuan tanpa had), bersama pilihan tambahan untuk 1 atau 2 tahun.
Setiap aksesori tulen juga didatangkan dengan 2 tahun waranti dan perbatuan tanpa had.