Tips ringkas untuk membeli kereta keluarga

oleh Careta.my|
Suka atau tidak, kereta sudah menjadi satu keperluan untuk sebuah keluarga, baik di bandar atau luar bandar.

Sekiranya saiz keluarga anda melebihi lima orang, anda tiada pilihan lain selain dari membeli sebuah MPV. Untuk keluarga yang masih muat dalam sebuah kereta, Careta hari ini membincangkan lima kriteria utama yang anda perlu timbangkan sebelum anda membuat keputusan membeli kereta baru keluarga anda.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

1. Kelengkapan keselamatan

Sebenarnya ini sangat bergantung kepada bajet anda. Kenderaan premium selalunya mempunyai lebih banyak alatan keselamatan yang termoden dan tercanggih. Namun begitu, ada beberapa syarikat kenderaan yang menawarkan fitur keselamatan yang tinggi dengan harga yang mampu milik.

 

Kesemua kenderaan sekarang datang dengan brek ABS (kecuali motosikal) dan ini membolehkan anda membrek dengan kuat sambil mengawal kenderaan anda untuk mengelak dari objek di hadapan. Hampir 90 peratus kereta di Malaysia pula dilengkapi dengan sekurang-kurangnya satu beg udara. Lebih banyak, lebih baik.

 

pic 1

 

Kawalan Traction dan Electronic

 

Stability Control juga ialah satu lagi alatan keselamatan yang penting dan semakin banyak model kenderaan yang datang dengan kedua sistem tersebut.

 

Pastikan juga anda bandingkan keputusan ujian perlanggaran dari Asean NCAP. Ujian dari Eropah atau Amerika Syarikat tidak terpakai kerana spesifikasi tempatan yang berbeza dan kebanyakan alatan keselamatan di pasaran luar tidak terdapat untuk model bagi pasaran negara kita.

 

Ingatlah, keselamatan keluarga ialah tanggung jawab anda.

 

 


 

 

2. Praktikaliti

Setiap keluarga ada keperluan berbeza. Sebelum membeli, bawa barang-barang yang akan anda bawa selalu ketika berjalan untuk memastikan ruang but muat. Contohnya, bawa kesemua ahli keluarga dan beg pakaian kosong dan lihat samada kereta itu muat atau tidak. Jangan malu mencuba kerana harga kereta bukannya RM2.50 sebuah dan seringkali kita berhutang lebih dari enam tahun untuk pembelian kereta.

 

Untuk keluarga beranak kecil, pastikan stroller muat kerana sekarang ini ramai keluarga muda yang suka membeli stroller besar dan mahal tetapi kenderaan mereka terlalu kecil untuk membawanya. Lupakan gaya, lebihkan praktikaliti.

 

pix 2

 

Secara umum, kereta sedan untuk keluarga sepatutnya mempunyai keluasan but sebesar 500 liter. Untuk yang mahukan hatchback, fikirkan cara untuk memuatkan barang bila pulang ke kampung. Meletakkan barang di dalam akan menyebabkan ketidak-selesaan kepada penumpang, dan ini tidak begitu cerdik kerana ketika kemalangan, barangan tersebut boleh menjadi objek yang boleh terbang dan mencederakan atau membunuh penumpang.

 

Anda boleh gunakan kotak simpanan barang di bumbung tetapi ia akan menaikkan kos bahan bakar (rintangan udara) dan menyebabkan bunyi angin yang mungkin terlalu kuat untuk anda.

 

pic 1

 

Saiz keluarga juga penting. Sekiranya anak bujang anda besar, anda perlukan kabin yang mampu memuatkan mereka dengan selesa. Tetapi jika tetap pentingkan imej, pujuk keluarga untuk menaiki bas agar anda sampai ke kampung dengan bergaya.

 

3. Ruang kabin

Ruang kabin kereta sekarang semakin canggih dan semakin “bijak”. Honda Jazz contohnya mempunyai kerusi belakang Ultra Seat yang mampu dilipat ke atas untuk memuatkan objek tinggi seperti pokok bunga. Perodua pula mempunyai "laci" di bawah kerusi untuk menyimpan buku manual atau untuk pemandu wanita, kasut.

 

Warna kabin juga penting. Warna cerah memang nampak mewah tetapi ia juga mudah kotor dan anda perlu mengeluarkan belanja tambahan untuk membersihkannya. Untuk yang mempunyai anak kecil, balutan kulit paling praktikal kerana mudah mengelap muntah susu atau sebagainya. Untuk balutan fabrik, cuba cari bahan semburan Scotchgard dari jenama 3M yang boleh menjadikan fabrik itu kalis air.

 

07-Honda Civic 2012 Penang-65

 

Periksa juga samada kabin itu mempunyai cukup ruang/poket simpanan barang, pemegang gelas dan soket 12V. Sekarang ini, hampir semua orang ada henfon, maka kerana itu kebanyakan kereta ada lebih dari satu soket 12V.

 

Hiburan juga penting, terutama yang mempunyai anak-anak. Sekiranya ia datang dengan pemain DVD dan skrin sebagai standard, ini sudah menjadi satu penjimatan kerana jika dipasang diluar, kos mungkin tinggi dan waranti mungkin terbatal.

 

4. Penjimatan bahan bakar

Oleh kerana ini ialah kereta keluarga, pecutan dari 0 ke 100 kmj tidak sepenting penjimatan bahan bakar. Untukpenjimatan maksimum, enjin hibrid menjadi pilihan utama.

 

Periksa saiz kapasiti enjin dan kuasa dan tork maksimum dan bandingkan dengan berat kenderaan. Sekiranya enjin terlalu kecil dan badan kereta besar, penggunaan bahan bakar mungkin akan tinggi.

 

05-Honda Civic 2012 Penang-57

 

Ada beberapa jenama kenderaan yang sudah pun mempunyai mod ekonomi untuk menjimatkan minyak. Contohnya Perodua, Nissan, Honda dan lain-lain. Tetapi, baca buku manual yang diberikan kerana ada mod ekonomi itu lebih sesuai untuk pemanduan di bandar. Jika digunakan ketika memandu di lebuhraya, mungkin penggunaan minyak lebih kuat.

 

Ujian penggunaan bahan bakar yang diberikan oleh pembuat kereta tersebut jarang yang tepat kerana Malaysia masih tiada lagi prosedur mewajibkan ujian penggunaan bahan bakar dilakukan oleh badan induk di dalam negara. Ujian di negara sejuk pasti menunjukkan kenderaan lebih menjimatkan kerana faktor cuaca yang sejuk dan spesifikasi enjin/berat kenderaan yang berbeza.

 

Paling bagus, tanya pemilik kenderaan yang sama tentang penggunaan bahan bakar. Di sinilah gunanya Faceook dan lain-lain alat media sosial, iaitu untuk bertanyakan informasi dan mendapatkan maklumat, bukan untuk mengumpat.

 

 

5. Gaya pemanduan

Sistem gantungan masih penting, tetapi bukan untuk memandu laju tetapi lebih ke arah keselesaan dan keselamatan. Tetapi, kereta dengan spring yang terlalu lembut akan menyebabkan kenderaan beroleng banyak dan penumpang mungkin akan mabuk darat.

 

Kenderaan dengan suspensi terlalu sporti pula selalunya memberikan pemanduan yang kurang selesa kerana talaan spring lebih keras dan penumpang akan rasa memantul-mantul. Apa yang kami cadangkan adalah membawa kesemua anak-anak anda untuk sesi pandu uji dan bertanya kepada mereka tahap keselesaan di bahagian penumpang samada terasa seperti di 'lambung' ombak atau selesa seperti sedang didodoikan.

 

17-DSC_0584

 

Untuk pemandu, periksa samada gaya duduk anda sesuai dengan kerusi kenderaan tersebut. Ingat, jika tempat duduk terlalu lembut, ini bermakna anda akan cepat penat. Tempat duduk yang keras sebenarnya lebih baik kerana ia mampu menampung berat badan anda untuk perjalanan jauh.

 

Pemanduan yang selamat bermula dari keadaan diri kita sendiri, mental dan fizikal.

6. Kerusi kanak-kanak

 


Tatkala kesemua kotak kriteria di atas telah pun dipenuhi, ada satu lagi perkara yang perlu anda titik beratkan - keselamatan anak anda. 

Sebelum ini banyak kes telah dilaporkan melibatkan kematian bayi atau kanak-kanak bawah umur tercampak keluar akibat tidak meletakkan mereka di tempat yang sepatutnya - kerusi kanak-kanak. 

Antara alasan yang diberikan adalah kerusi yang terlalu mahal dan kesempitan ruang akibat pemasangan kerusi kanak-kanak. 

Walaupun nampak begitu rumit, akan tetapi menurut kajian penggunaan kerusi kanak-kanak sebenarnya mampu mengurangkan kadar kecederaan kepada kanak-kanak ketika insiden kemalangan berlaku. 

Beberapa pengeluar kenderaan sebelum ini sudah pun menjalankan tanggungjawab mempromosikan penggunaan tempat duduk khas kanak-kanak dan ini merupakan satu permulaan yang sangat baik ke arah jalan raya yang lebih selamat.

Usah dilayan iklan bentang tilam di Facebook atau Whatsapp demi 'keselesaan' sementara anak anda, kerana anda sendiri tidak akan tahu bagaimana nasib seterusnya ketika bergerak di atas jalan raya. 

Kesejahteraan anda sekeluarga di masa hadapan, bermula dengan tindakan anda pada hari ini. 

Berita Berkenaan

Informasi
Penggunaan bateri tersebut digunakan oleh kenderaan terkini kerana tenaga tersebut sedikit sebanyak…
Tekno Careta
  Ini termasuklah cara-cara membersihkan kenderaan kita, dari syampu kenderaan sampailah segala…
Berita Global
Menurut laporan daripada Bloomberg, pengeluar itu dikatakan menghantar emel berbentuk tips kepada…