Laman media sosial litar Neraka Hijau Nurburgring Ahad lalu telah memuat naik sekeping gambar yang memaparkan seksyen jalan yang sedang dalam proses pembinaan dan penurapan semula.
Ia bukanlah satu perkara pelik apabila litar terkenal itu ditutup buat sementara waktu sewaktu musim sejuk.
Ada kalanya pihak pengurusan litar menutup laluan tersebut kepada umum sehingga berminggu-minggu lamanya terutama musim sejuk untuk tujuan keselamatan, serta memberi laluan kepada proses penyenggaraan jalan.
Difahamkan, pihak pengendali Nurburgring telah membelanjakan sejumlah €3 juta (RM15.36 juta) untuk menaiktaraf seksyen Fuchsröhre sepanjang hampir 1 km, salah satu laluan yang paling mencabar dan paling berbahaya dalam litar tersebut.
Turapan tar baharu itu bakal menawarkan banyak manfaat kepada pengguna, seperti kadar rintangan gelincir yang baik terutama ketika cuaca buruk, serta sistem saliran air yang lebih berkesan.
Kadar bunyi bising jalan juga dapat dikurangkan dengan berkesan, supaya penduduk kejiranan sekitar dapat menikmati hidup dengan lebih tenang dan aman.
Selain daripada turapan tar baharu, pihak pengurusan juga sedang giat menaiktaraf laluan pit supaya dapat menampung penggunaan terutama ketika musim sukan permotoran yang dijangka akan bermula pada pertengahan Mac ini.
Tahun lepas, Litar Nurburgring telah ditutup buat sementara waktu untuk projek pendigitalan litar, seperti pemasangan saluran kabel gentian optik, bekalan kuasa, tiang kamera berdefinisi tinggi, dan papan amaran panel LED.
Semua ini demi memastikan tahap keselamatan yang tinggi tercapai di litar tersebut, kerana ia bukan sahaja berfungsi sebagai sebuah litar lumba, bahkan ia turut diakses oleh orang awam.
Untuk makluman, saban tahun pihak pengurusan akan menyediakan sesi litar terbuka yang dinamakan sebagai Nurburgring Touristfahrten, di mana apa jua jenis kenderaan boleh masuk dan menikmati setiap selekoh di laluan tersebut.
Bayaran akan dikenakan mengikut jumlah pusingan, dan jangan tak tahu denda juga akan dikenakan sekiranya berlaku sebarang kemalangan dan kerosakan infrastruktur.
Malah, penalti juga akan dikenakan mengikut penambahan masa penutupan litar melebihi had yang dibenarkan.
Sumber: FB Nurburgring, CarBuzz