Proton Satria GTi jejak Litar Nurburgring - impian lima tahun jadi kenyataan

oleh Mohamad Hanif|
Proton Satria GTi, antara lagenda kereta nasional yang masih lagi menjadi buah mulut kebanyakan kaki kereta, walaupun sudah lama dihentikan produksinya, malah harga jualan di pasaran terpakai juga masih lagi stabil sehingga kini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sudah pasti kita akan merasa bangga apabila kereta ini mendapat tempat di hati masyarakat antarabangsa, malah pernah diuji sendiri oleh selebriti terkemuka Richard Hammond satu ketika dahulu.

 


Bersempena dengan Hari Malaysia pada hari ini, Careta ingin berkongsikan kepada anda semua sebuah Satria GTi standard yang berjaya menjejakkan tayarnya di Litar Neraka Hijau, tak lain dan tak bukan, Nurburgring Nordschleife di Jerman.
 

GTi


Careta baru-baru ini menemubual pemilik Satria GTi, Danial Khairi yang kini menetap di Jerman dan bekerja di sebuah syarikat pembekal alat ganti kenderaan.

Menurut Danial yang sudah tujuh tahun tinggal di Jerman, beliau membeli unit Satria GTi ini kira-kira lima tahun lalu dengan harga jualan hanyalah sekitar 1,000 euro sahaja (RM4,531 mengikut nilai matawang sekarang).
 

GTi


Standard kereta lama, ada komponen yang memang perlu ditukar. Danial memaklumkan ada alat ganti yang terpaksa diperoleh daripada pelbagai sumber termasuklah pengedar alat ganti OEM dari Jerman, Malaysia dan kereta penderma lain.

Namun, niat Danial cuma satu - menjadikan spesifikasi Satria GTi ini sama piawai dengan spesifikasi kilang bagi membolehkan beliau menguji tahap pengendalian hasil tangan Proton dan juga Lotus dalam pelbagai jenis keadaan dan juga di litar Neraka Hijau.
 

GTi


Beliau mengakui, ini kali pertama Satria GTi tersebut dipandu mengelilingi Litar Nurburgring. Sudah pasti teruja dan sukar untuk digambarkan dengan perkataan apabila pertama kali menjejakkan kaki di litar ikonik itu.

"Saya telah banyak memandu di dalam trek ini berkali-kali menggunakan permainan simulasi Gran Turismo 6, akan tetapi cubaan memproses perbezaan antara simulator dan kehidupan sebenar adalah salah satu pengalaman yang paling menakjubkan yang pernah saya alami.

"Apabila keyakinan meningkat, semuanya masuk akal apabila otak saya mula memproses informasi dan latihan dari simulator yang menjadikan pemanduan lebih lancar," jelasnya lagi.
 

GTi


Menurut hantaran di laman Facebook miliknya, Danial Khairi memandu Satria GTi tersebut pada 5 September yang lalu menerusi sesi Nurburgring Touristfahrten (pemanduan pelancong) bersama-sama rakannya Ruben dan Jochem (masih ingat Teksi Wira Nurburgring?)

Baca: Teksi Wira Nurburgring

Sesi ini membolehkan apa jua jenis kenderaan masuk ke dalam litar (jangan terkejut, bas pun ada tau!) dan bayaran akan dikenakan mengikut jumlah pusingan.
 

GTi


Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak 25 euro (RM113) untuk hari biasa, dan 30 euro (RM136) untuk hari minggu. Pemilik yang mahu memasuki litar perlu memeriksa jadual terlebih dahulu, dan jadual akan dikemaskini pada setiap minggu.

Menurut Danial, pada sesi yang dihadiri beliau pada 5-6 September yang lalu, litar tersebut dibuka dari jam 5.30 petang hingga 7.00 malam.
 

GTi


Walaupun tiada sebarang had laju dikenakan, Danial mengingatkan para pembaca bahawa litar Nurburgring mempunyai peraturan tersendiri yang perlu dipatuhi.

Baca: Kenapa Litar Nurburgring digelar Neraka Hijau

"Semua kereta dikehendaki mematuhi undang-undang jalan raya, dan mesti mempunyai kertas pemeriksaan yang diluluskan oleh TüV Jerman. Pemeriksaan ini diberikan kepada semua kereta setiap dua tahun untuk kelayakan jalan raya.
 

GTi


"Di dalam litar, kereta yang lebih laju perlu memotong di sebelah kiri (Jerman mengamalkan pemanduan sebelah kiri), manakala kereta yang perlahan kekal di sebelah kanan trek.

Danial turut berkongsi tips atau 'undang-undang yang tidak bertulis' yang harus diketahui bagi mereka yang menyimpan azam untuk melawat dan memandu di dalam Litar Nurburgring ini kelak.
 

GTi


"Adat Nurburgring, ego kena tolak tepi. Jangan kejar masa, dan sentiasa fikir pasal keselamatan kita dan pengguna-pengguna lain.

"Objektif setiap pemandu adalah untuk memahami had kereta masing-masing, dan bukan untuk berlumba atau tunjuk handal. Respect, be humble, learn and share. Itulah adat Nürburgring," ujar Danial mengakhiri bicara.
 

GTi


Setakat ini, Danial amat berpuas hati dengan pengendalian yang ditawarkan oleh Satria GTi ini dan beliau mengakui, ia sebuah kereta yang mampu memenuhi falsafah sebagai sebuah hot hatch yang sebenar.

Sebagai penutup, anda boleh nikmati video pemanduan Satria GTi di dalam Litar Nurburgring seperti yang dikongsikan oleh Danial Khairi menerusi Facebook beliau.
 

Sumber gambar: FB Danial Khairi