Sebab kenapa Mitsubishi masih enggan kembalikan Lancer Evo

oleh Mohamad Hanif|
Kira-kira sebulan yang lalu, Mitsubishi mengumumkan kembalinya operasi divisyen sukan permotoran dan penalaan Ralliart setelah 11 tahun direhatkan.

Dalam pengumuman tersebut, Mitsubishi menjanjikan beberapa perkara, termasuklah menawarkan kembali komponen berprestasi tinggi Ralliart kepada model-model Mitsubishi, serta bercadang untuk menyertai semula sukan permotoran di seluruh dunia.

Namun, dalam pengumuman yang dibuat oleh CEO Mitsubishi Takao Kato bulan lalu, masih lagi tiada sebarang perancangan untuk mengembalikan semula nama ikonik Lancer Evolution.

Menurut laporan daripada Japanese Nostalgic Car, para pemegang saham Mitsubishi pada ketika itu sebenarnya turut mengemukakan cadangan untuk mengembalikan semula nama Lancer Evolution ke persada dunia.

Ia bukanlah satu permintaan yang pelik, memandangkan kebanyakan mereka berpendapat kehadiran semula model berprestasi tinggi mampu memaksimumkan kembali keuntungan Mitsubishi, dan Lancer Evolution merupakan calon yang sesuai.

 

masih ingat Lancer Evolution MIEV?


Menjawab persoalan tersebut, Kato menjelaskan walaupun beliau berkeinginan untuk berbuat demikian, syarikat tersebut perlu sedar akan keadaan kewangan semasa, dan Kato menegaskan Mitsubishi masih lagi belum cukup kuat untuk hadir dengan produk sebegitu.

Beliau juga turut mengakui barisan portfolio sedia ada telah meninggalkan ruang kosong yang sepatutnya diisi oleh model-model yang menggambarkan Mitsubishi Motors, namun Kato percaya Mitsubishi masih lagi mempunyai kekuatan yang tersendiri terutama di dalam teknologi elektrifikasi dan juga pemanduan off-road.

Mitsubishi mensasarkan tahun 2023 untuk kembali aktif di dalam sukan permotoran, dan berdasarkan keupayaan syarikat itu di dalam trenkuasa elektrik dan plug-in hyrid, tidak mustahil akan lahir sebuah produk yang mampu menggambarkan Mitsubishi yang sebenar.

Sumber: Japanese Nostalgic Car

Berita Berkenaan

Berita Global
Ya, dari segi luaran, agak sukar untuk membezakan antara model PHEV dengan model petrol yang biasa…
Berita Global
"Laporan Nihon Keizai Shimbun (nama lama Nikkei) bertarikh 14 September menyebut kami (Mitsubishi)…
Berita Global
Mitsubishi memang dipasang di Bangladesh sejak tahun 1977 dengan menggunakan pemasang kontraktor…