
Tidak dilupakan, Mitsubishi Storm pasaran tempatan pernah menggunakan nama Evo.
Triton menggunakan enjin 4N16 2.4 liter diesel dengan sistem turbo dua peringkat yang menghasilkan output tinggi pada keseluruhan julat rev.
Sistem itu berfungsi dengan melaras dua turbin mengikut kelajuan putaran dan bebanan.
Triton menghasilkan 201 kuasa kuda (hp) dan tork 470Nm dengan janaan dari serendah 1,500 rpm. Enjin dipadan bersama kotak gear automatik enam kelajuan dengan mod sport.
Pacuan empat roda (4WD) Triton menggunakan sistem SS4-II dengan empat mod berikut:
- 2H: Pacuan roda belakang
- 4H: Pacuan 4WD sepenuh masa
- 4HLc: Sambungan terus pada pembeza tengah
- 4LLc: Gear rendah

Di bawah kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) pemandu boleh terus menukar mod pacuan menggunakan tombol kecuali 4HLc dan 4LLc yang hanya boleh dilakukan semasa berhenti.
Sistem pacuan juga membahagikan tujahan sebanyak 40 peratus ke depan dan 60 peratus ke belakang untuk cengkaman dan prestasi di selekoh.
Selain itu, Triton mempunyai tujuh mod pemanduan yang dibahagikan mengikut pacuan 4WD.
- Normal: Tetapan asas untuk semua mod 4WD
- Eco: Pemanduan ekonomikal - 2H
- Gravel: Laluan tanpa turapan - 4H
- Snow: Jalan ais dan bersalji - 4H
- Cengkaman: 4HLc
- Mud dan Sand: 4LLc
- Rock: 4LLc

Mitsubishi juga terkenal dengan Active Yaw Control [AYC]. Sistem itu mempertingkat prestasi di selekoh melalui pembrekan daya rendah pada roda depan.
Sistem LSD (kawalan brek) membrek roda yang mengalami gelinciran dan membahagikan daya kilas pada roda yang mempunyai cengkaman.
Kombinasi tersebut diterjemah pada pengendalian yang baik walaupun untuk sebuah pikap dengan badan besar.
Turut dilengkapi Kawalan Menuruni Bukit (HDC) dan Bantuan Mula Mendaki (HSA).
Triton dibina di atas kerangka tangga baharu yang lebih tegar dengan lebih banyak bahagian menggunakan keluli tegangan tinggi.
Sama seperti kerangka, struktrur badan Triton dibuat daripada besi tegangan tinggi selain teknologi RISE yang menyerap tenaga sekiranya berlaku kemalangan.

Dari segi reka bentuk, Mitsubishi menggunakan konsep Beast Mode yang menampilkan gayaan lasak dan kekuatan.
Gaya depan Dynamic Shield diterjemah semula dengan jeriji bentuk tiga dimensi yang menonjol.
Secara ringkasnya, Mitsubishi banyak bermain dengan garis bersegi dan berkotak atau kembali semula ke era sebelum Triton 'Stormtrooper'.
Bentuk kabin mempunyai ciri aerodinamik lebih baik dan fungsi praktikal lain seperti hendal pintu yang lebih senang untuk digenggam dan tahan lasak. Pemijak sisi juga lebar.
Triton GSR dipasang jeriji sama warna dengan badan dan pendakap bawah bampar warna titanium gelap.
Perkakasan lain seperti hendal pintu, perumah cermin sisi dan beberapa lagi dalam warna hitam.
Pada bahagian dalam, pemandu disaji dengan konsep baharu Horizontal Axis dengan tumpuan pada rekaan melintang supaya lebih alami.
Rekaan perkakasan seperti meter, suis dan pelbagai lagi mengambil kira kemudahan penggunaan.

Dari segi keselamatan, Triton dilengkapi teknologi bantuan pemanduan e-Assist dengan sembilan fungsi berikut:
- Sistem Kawalan Suai Pandu Radar (ACC)
- Sistem Pembrekan Pencegahan Kemalangan (FCM)
- Bantuan Pencegahan Tersalah Tekan Pedal (EAPM)
- Sistem Amaran Lencongan Lorong (LDW) dan Fungsi Bantuan Pencegahan Lencongan Lorong (LDP)
- Sistem Amaran Pengesanan Kenderaan Belakang dengan Fungsi Bantuan Penukaran Lorong (BSW/LCA)
- Sistem Pengesanan Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
- Lampu Tinggi Automatik (AHB)
- Sistem Pengesanan Isyarat Jalan Raya (TSR)
- Peringatan Perhatian Pemandu (DAA)

Selari dengan perkembangan semasa, Triton dilengkapi fungsi Mitsubishi Connect yang boleh membuat tetapan penyaman udara, kunci dan buka kunci melalui kawalan jauh.
Mitsubishi turut menawarkan pelbagai aksesori seperti pendakap lingkungan roda, sports bar, riasan badan, penutup kargo belakang dan bantuan pintu kargo.
Berikut varian dan harga Mitsubishi Triton 2024 pasaran Jepun:
- Triton GLS: 4,980,800 yen (RM163,212)
- Triton GSR: 5,401,000 yen (RM176,981)
Penulis: Muhammad Md Tajudin
