
Captur menggunakan rupa depan baharu dan begitu juga ASX dan kali ini lebih serius dalam membezakannya. Bampar dan jeriji ditukar baharu dan bukan sekadar perubahan kecil.
Lampu besar kekal sama dan begitu juga lampu nyalaan siang (DRL) pada sisi bampar dan dibezakan dengan corak nyalaan.
Rupa depan ASX direka bagi menyerlahkan lagi identiti Dynamic Shield Mitsubishi dan bingkai jeriji bawah yang condong mengingatkan kepada ASX dan Lancer sebelum ini.
Sisi kereta sama seperti Captur termasuk rim 18 inci untuk varian terpilih. Terdapat perbezaan kecil seperti riasan pada dapra dan jaluran bingkai pintu warna krom.

Bahagian belakang tidak berubah dengan lampu sepit ketam dan dibezakan melalui tulisan Mitsubishi yang melintang sepanjang pintu but.
Bahagian dalam mirip Captur kecuali kemasan dan kelongsong beg udara stereng. Skrin tengah berukuran 10.4 inci dan model Mitsubishi pertama dilengkapi Google built-in.
Dari segi keselamatan, varian terpilih dilengkapi Bantuan Parkir yang mengesan lokasi parkir secara automatik dan membantu meletak kereta di dalam garaj, secara berdepan atau sisi.
Varian terpilih turut dilengkapi Peringatan Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Berkenaan rangkaian kuasa, ASX boleh dipesan dalam versi hibrid penuh (HEV), mild hybrid dan enjin petrol biasa.
Model HEV menggabungkan enjin petrol 1.6 liter dengan dua motor motor elektrik (penghidup pengulangalik dan motor utama), kotak gear automatik pelbagai mod dan bateri 1.2 kWj.
Satu fungsi canggih pada model HEV ialah mod E-SAVE yang membantu menjimatkan tenaga bateri untuk kegunaaan kemudian.
Dengan mengekalkan tahap bateri pada kadar minimum 40 peratus, tenaga disimpan untuk pemanduan EV atau jika diperlukan bagi membantu enjin sebagai contoh ketika mendaki.

Model mild hybrid pula terdiri daripada enjin 1.3 liter turbo pancitan terus dengan kotak gear manual enam kelajuan atau automatik dua cekam tujuh kelajuan.
Satu lagi pilihan ialah enjin 1.0 liter turbo yang dipadan bersama kotak gear manual enam kelajuan.
Sama seperti Captur, model Mitsubishi ini dipasang di kilang Renault di Valladolid, Sepanyol dan dikeluarkan bermula Mei dan berada di bilik pameran terpilih di Eropah pada Jun.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
