Walaupun ditawarkan di beberapa buah negara sahaja di Eropah, permintaan yang tinggi menyebabkan BMW kini terpaksa meningkatkan kapasiti produksi di fasiliti Munich untuk memenuhi keperluan tersebut.
Menurut laporan Bimmer Today, CEO BMW M Frank van Meel meluahkan rasa terkejut dengan sambutan yang diterima sejak BMW M3 Touring dilancarkan pada tahun lepas di Goodwood Festival of Speed.
Pengeluar itu juga turut melakukan perubahan pada fasiliti Munich dalam usaha untuk memenuhi permintaan yang menggalakkan itu.
Biarpun dengan kapasiti produksi yang telah dipertingkatkan, ia tidak dapat menampung jumlah tempahan yang mendatang, dan ini bermakna para pelanggan terpaksa menunggu untuk tempoh yang lebih lama.
Mengikut spesifikasi, BMW M3 Touring dikuasakan oleh nadi enam silinder sebaris 3.0 liter turbo berkembar dengan kuasa setinggi 503 hp dan 650 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan sahaja.
Tidak menghairankan apabila ia kekal menjadi satu pilihan yang ideal untuk ketua keluarga yang mahukan sebuah kereta pantas dan praktikal dalam masa yang sama.
Baca: BMW M3 Touring 2023