Perkhidmatan bas percuma, CAT Bridge Bukit Mertajam CT14 dari Bukit Mertajam ke Komtar

oleh Penyumbang Rencana|
Kerajaan negeri Pulau Pinang bersama Rapid Penang melancarkan perkhidmatan CAT Bridge Bukit Mertajam (CT14) percuma yang menghubungkan kawasan Bukit Mertajam dan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bermula dari 1 Januari bagi tempoh enam bulan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Perkhidmatan yang merangkumi laluan 26 kilometer (km) itu bermula dari Summit Bukit Mertajam, melalui Bandar Perda dan Jambatan Pulau Pinang, menghala ke Terminal Bas Komtar.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, perkhidmatan CAT Bridge Bukit Mertajam itu merupakan tambahan kepada perkhidmatan CAT Bridge percuma sedia ada yang menghubungkan kawasan Seberang Jaya dengan Bayan Lepas.

Menurutnya, perkhidmatan itu sebagai langkah meringankan beban rakyat Pulau Pinang dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sebagai mod pengangkutan utama.

"Perkara ini menjadikan Pulau Pinang satu-satunya negeri di Malaysia di mana perkhidmatan pengangkutan awam adalah percuma bagi semua rakyat Malaysia.

"Sebanyak lima buah bas telah disediakan bagi pengoperasian laluan baharu ini. Purata masa perjalanan ke destinasi akhir dijangka mengambil masa selama 60 hingga 85 minit," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bas Percuma CAT Bridge Bukit Mertajam di Bandar Perda pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Menjelaskan mengenai perkhidmatan yang disediakan, Zairil berkata, pada hari bekerja, operasi perkhidmatan CAT Bridge BM ini akan bermula pada 6 pagi hingga 9.30 pagi pada waktu puncak pagi dan pada jam 4.50 petang hingga 7.25 malam bagi waktu puncak petang dan diberikan percuma kepada semua penduduk Pulau Pinang.

Pada cuti hujung minggu dan cuti umum pula, Zairil menjelaskan, bas CAT Bridge BM ini berjalan dari jam 6 pagi hingga 7.25 malam.

"Pengguna boleh menggunakan perkhidmatan ini setiap hari mengikut waktu operasi yang telah ditetapkan.

"Kos keseluruhan perkhidmatan CAT Bridge BM secara keseluruhan adalah berjumlah sebanyak RM724,000 yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri," tambahnya.

Beliau berkata, penumpang boleh mengenal pasti laluan bas itu dengan ‘wrapping’ bas berwarna merah iaitu Bas Merah (BM) Ke Komtar.

Beliau berharap perkhidmatan CAT Bridge BM ini diterima baik oleh semua pengguna dalam membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang dengan pengurangan kos dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

Utusan Malaysia

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Stesen yang terlibat adalah seperti berikut: • LRT Laluan Kelana Jaya - Pasar Seni, Masjid Jamek,…
Berita Domestik
  Kata Loke, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan memudahkan dan memberi keselesaan kepada Ahli…
Berita Domestik
Bercakap kepada pemberita, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah menjelaskan kawasan…