Pemilik stesen minyak disiasat, denda maksimum RM2 juta sekiranya didapati bersalah!

oleh SALINA JALIL|
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengarahkan pemilik sebuah stesen minyak di bandar raya ini tampil memberi keterangan kerana membenarkan kenderaan asing menggunakan minyak RON95.


Tindakan itu juga merujuk kepada penularan rakaman video pada 2 Januari lalu yang memaparkan seorang lelaki mengisi petrol RON95 pada kenderaan dengan nombor pendaftaran asing.

 

Menerusi satu kenyataan media malam tadi, KPDNHEP turut memaklumkan satu siasatan telah dibuka dan pihaknya turut membuat pemeriksaan di stesen minyak berkenaan pada 3 Januari lalu.

 

“Hasil pemeriksaan dan siasatan yang dilakukan mendapati lelaki yang mengisi minyak petrol RON95 pada kenderaan asing itu dipercayai menggunakan sistem kad kredit layan diri di pam untuk mengisi minyak pada hari tersebut.

 

“Siasatan sedang dibuat terhadap stesen minyak berkenaan atas kesalahan gagal mematuhi arahan pengawal bekalan. Pemilik stesen juga telah diarahkan untuk hadir di KPDNHEP Johor bagi merekod rakaman percakapan dan siasatan lanjut,” katanya.

 

Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

 

Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, mereka yang melakukan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM3,000,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

 

Hukuman untuk syarikat pula melibatkan denda tidak melebihi RM2,000,000 dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM5,000,000.

 

 

Noktah: Kenderaan pendaftaran asing tidak dibenarkan mengisi bahan api mereka dengan RON 95 kerana ia berada di bawah Akta Kawalan Bekalan 196. Anda boleh membuat aduan di KPNDHEP melalui sistem e-aduan supaya tindakan sewajarnya boleh diambil oleh pihak kerajaan. Pastikan anda mencatatkan gambar atau video, tarikh, masa dan lokasi.  Kepentingan negara perlu kita lindungi bersama-sama!

 

 

 

Sumber: Sinar Harian

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Kenderaan yang digunakan untuk kerja penyeludupan itu ditahan di sebuah stesen minyak di Batang…
Informasi
  Mengikut pengumuman terbaharu itu, harga RON97 turun 4 sen kepada RM2.49 seliter manakala harga…
Informasi
  Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution…