Lindungi pembeli kereta terpakai - KPDNHEP teliti cadangan perkenalkan Lemon Law

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang meneliti penambahbaikan undang-undang berkaitan jual beli termasuk cadangan memperkenalkan Lemon Law.


Menteri berkenaan, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha itu penting bagi melindungi pengguna agar tidak menjadi mangsa penipuan atau terpaksa menanggung kerugian apabila membeli kenderaan terpakai.
Perodua Aruz for Nov 2022 MREC

 

Beliau berkata, berdasarkan statistik bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 1,126 kes berkaitan jual beli kenderaan terpakai direkodkan Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM).

 

"Seperti yang dicadangkan persatuan pengguna termasuk FMCCAM (Federation of Motor and Credit Companies Associations Malaysia) untuk kementerian mengukuhkan perundangan sedia ada termasuk perkenalkan Lemon Law.

 

"Di peringkat KPDNHEP kami ada berbincang (Lemon Law) dan kami sedang mengumpulkan input daripada pemain industri," katanya pada sidang media selepas merasmikan program jaminan lanjutan bagi pemilik kenderaan terpakai AutoGen Plus yang diperkenalkan syarikat eAutoGen Capital Sdn Bhd, di sini pada Selasa.

 

Lemon Law adalah undang-undang yang melindungi produk pengguna yang mempunyai jangka hayat melebihi enam bulan seperti kenderaan, bagi menangani isu kerosakan sedia ada serta kemungkinan berlakunya kemalangan dan menanggung kerugian akibat daripada kerosakan tersebut.

 

Mengulas mengenai program jaminan lanjutan itu, Nanta berkata, KPDNHEP sentiasa menyokong mana-mana pemain industri untuk memperkukuhkan sektor kenderaan terpakai khususnya dalam soal perlindungan pengguna.

 

"KPDNHEP akan sentiasa menyokong dan memberi galakan yang tinggi kepada mana-mana pihak yang bersedia untuk meningkatkan sektor kereta terpakai. Di sinilah Program Jaminan Lanjutan eAutoGen dan usaha rakan kongsinya dipuji.

 

"Program Jaminan Lanjutan meliputi dua bidang utama iaitu kebolehlihatan keadaan kereta terpakai melalui pemeriksaan dan memastikan kenderaan diselenggara. Selain itu paling penting, bantuan untuk membaiki kerosakan utama yang melibatkan transmisi dan enjin,” katanya.

 

Beliau juga menggesa semua pemain dalam sektor kereta terpakai seperti pembeli, penjual, pembiaya, penanggung insurans, mekanik, penyedia produk dan perkhidmatan serta penyedia teknologi, untuk berusaha sebaik mungkin menjayakan cadangan bernilai ini.

 

Nanta menegaskan, usaha itu akan membantu meningkatkan perdagangan domestik dan mempunyai perlindungan pengguna yang lebih baik serta mampu meningkatkan kepercayaan, keselamatan dan keyakinan antara pembeli dan penjual.

 

 

 

- Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Hakim Mahkamah Seksyen Mabel Sheela Muttiah membenarkan tuntutan plaintif sebanyak RM1,799 sebagai…
Hezeri Samsuri
Penulis sudah lama memperjuangkan isu ini tetapi usaha yang ada dari kerajaan dan agensi-agensi…
Berita Domestik
Menurut Aliff, 34, Pengarah Urusan Ifcon Technology dan juga bekas pelajar MRSM Batu Pahat, Scrut…