Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi itu bertujuan memeriksa bengkel motosikal yang dipercayai terlibat dalam pengubahsuaian untuk kegiatan lumba haram dan samseng jalanan.
Beliau turut berkata bahawa langkah-langkah yang diambil polis adalah untuk memastikan sifar aktiviti lumba haram di Pulau Pinang. Sebanyak 21 buah bengkel dikenal pasti di tiga daerah yang mana, sembilan daripadanya adalah di Timur Laut.
Dalam laporan Sinar Harian, Soffian berkata demikian ketika ditemui selepas operasi bersepadu ke atas bengkel motosikal di Tanjung Bungah pada Khamis.
Turut terlibat dalam operasi ini adalah agensi lain antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Soffian berkata, pemeriksaan ke atas dua buah bengkel di Lembah Permai, Tanjung Bungah itu dijalankan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengubahsuaian motosikal.
Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah dan kesalahan melakukan pengubahsuaian motosikal tanpa lesen.
Tiga motosikal di bawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) bagi mengesan pemilik selain memastikan ia diubah semula kepada spek asal. Pemilik motosikal tersebut akan disoal siasat tujuan mereka mengubah suai motosikal.
Selain itu, polis turut menjalankan ujian saringan air kencing ke atas pekerja bengkel dan keputusannya belum diperolehi setakat ini.
Salah sebuah bengkel yang diperiksa itu turut menyediakan makmal dyno (dyno lab) yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan dan kelajuan sesebuah motosikal.
Pihak KPDNHEP yang turut terlibat dalam operasi ini pula menumpukan kepada pemeriksaan ketulenan aksesori yang dijual di bengkel-bengkel ini. Ini adalah untuk memastikan pengusaha bengkel mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Soffian turut berkata, "Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya mengubahsuai motosikal tanpa mendapat kelulusan daripada JPJ. Jika ada yang masih berdegil, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk menarik semula lesen perniagaan mereka," katanya.
Dalam pada itu, pihak polis turut melakukan pemeriksaan di salah sebuah bengkel yang menjalankan operasi di rumah persendirian dan mendapati terdapat banyak rangka motosikal yang ditinggalkan.
Siasatan akan dijalankan ke semua rangka motosikal ini untuk pemeriksaan dari segi rekod, sama ada pernah dilaporkan hilang dan sebagainya. Polis juga akan menyiasat mengapa motosikal yang lama ini tidak diambil oleh pemiliknya.