Malah, beliau berkata, pembelian pesawat MD530G dirancang ketika pencerobohan Lahad Datu selepas melihat keperluan pada masa itu.
“Sebelum ini, Tentera Darat hanya memiliki pesawat Agusta yang berperanan sebagai pesawat tinjauan ringan dan tidak dilengkapi dengan persenjataan. Kemudian Tentera Darat ubah suai pesawat Agusta ini dengan meletakkan persenjataan 7.62 milimiter (MM) gatling gun untuk bertindak sebagai helikopter penggempur ringan.
“Justeru, berdasarkan keperluan penugasan ini serta mengambil kira faktor kewangan dan bentuk ancaman pada ketika itu menjurus kepada ancaman pengganas, Tentera Darat berepndapat MD530G adalah pilihan terbaik dan bersesuaian untuk penugasan operasi di persisiran pantai,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Penerimaan Enam Helikopter MD530G Hangar 2 Invation Aero semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam lontaran di muka buku beliau berkata, "MD530G ini dilengkapi dengan kuasa tembakan (firepower) jenis Gatling Gun 7.62mm, Heavy Machine Gun 12.7mm dan Rocket Launcher 70mm.
Keupayaan kuasa tembakan (firepower) yang dimiliki oleh pesawat ini mampu menggempur kenderaan perisai ringan dan trup Infantri dalam jarak 500 meter ke 7 kilometer. Ketangkasan (agility) helikopter ini juga membolehkan ianya melaksanakan tugas tinjauan udara. Helikopter ini akan diaturgerakkan untuk membantu ketumbukan Tempur Tentera Darat Malaysia yang lain di Semenanjung Malaysia dan juga Sabah dan Sarawak.