Pandu Uji: Toyota Camry 2.5V facelift - Ini Toyota ke Lexus?

oleh Mohamad Hanif|
Selesai sudah pelancaran rasmi model facelift bagi sedan segmen D Toyota Camry 2022, dan seminggu sebelum pelancaran dibuat, pihak pengamal media dijemput untuk merasai sendiri pembaharuan yang dibuat pada model ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Segala pembaharuan anda boleh baca di SINI, penulis tidak mahu artikel ini terlalu panjang, lebih baik terus kepada poin-poin penting sahaja.

Yang penting, imej Camry facelift kini lebih sporti (tanpa mulut yang ternganga besar bak pisau cukur Gillette itu) dan masih lagi mengekalkan bentuk sedan konvensional, bukan sedan dengan garis bumbung yang panjang ke belakang. Rupa paras yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek masa.
 

Camry


TAPI. Toyota Camry facelift, dengan enjin besar 2.5 liter.

Careta faham, ada di antara pembaca yang tertanya-tanya, 'zaman bila punya kereta dengan enjin sesaran besar ni?'
 

Camry


Usah terburu-buru buat kesimpulan awal sebelum anda menguji sendiri sedan ini.

Bagi penulis, ya, Toyota (UMW Toyota khususnya) boleh disifatkan sebagai syarikat yang degil dan mahu melawan arus trend semasa.

Tatkala pengeluar lain sudah pun mula menggunakan nadi turbo bersesaran yang lebih kecil (dan lebih berkuasa), Toyota masih lagi selesa menggunakan enjin sesaran besar, dalam kes ini enjin 2.5 liter untuk Toyota Camry.
 

Camry


Enjin Dynamic Force aspirasi natural 2.5 liter ini berupaya menjana kuasa 209 PS @ 6,600 rpm dan 253 Nm @ 5,000 rpm, atau peningkatan sebanyak 25 PS dan 18 Nm berbanding enjin terdahulu. Enjin yang sama wujud di dalam Toyota RAV4. Dan juga Lexus ES.

Sebagai perbandingan, pesaing rapatnya Honda Accord 1.5 TC-P mampu menjana 201 PS @ 5,500 rpm dan 260 Nm @ 1,600-5,000 rpm.

Selain itu, kotak gear juga turut dinaiktaraf kepada Direct Shift 8AT menggantikan transmisi automatik 6 kelajuan, di mana ia kini jauh lebih kompak, lebih ringan, dan juga lebih cekap.
 

Camry


Atas jalan raya, pecutan awal Camry tidaklah sepantas Accord disebabkan sifatnya sebagai sebuah enjin NA, namun kelebihan sebenar Camry ditunjukkan dengan baik bila mana anda sudah pun mencapai kelajuan jelajah yang lebih tinggi di lebuh raya.

Berbanding Accord turbo yang sudah mula menunjukkan keengganan untuk pergi lebih laju, kelebihan yang ada pada enjin NA Camry itu berjaya membuatkan penulis tersenyum lebar tatkala jarum meter menghampiri angka 200.

Ia disumbangkan lagi oleh kestabilan pemanduan yang sukar untuk dirasai pada model pesaing, baik di atas jalan yang lurus, mahupun di laluan berbukit KL-Karak yang menjadi kegemaran penulis itu.
 

Camry


Ya, di atas laluan yang berliku itu penulis tidak langsung merasakan Camry ini mampu hilang kawalan pada bila-bila masa, disebabkan respons stereng dan casis TNGA yang seimbang, sehingga ada kalanya penulis lupa ini sebuah Camry.

Cuaca hujan sepanjang perjalanan pergi dan balik juga bukanlah penghalang bagi penulis untuk menguji kestabilan Camry ini atas lebuh raya, dan ternyata ia tidak mengecewakan.

Selepas puas memegang stereng, penulis mengambil peluang duduk di kerusi baris belakang.
 

Camry


Di sini, ia lebih kepada 'ruang untuk bos'.

Bukan sekadar tempat perehat tangan yang kini dilengkapi dengan butang kawalan suhu, sistem audio, dan juga penghadang suria di bahagian belakang, tempat duduk juga boleh dilaraskan sudut sandaran sehingga lapan darjah ke belakang.

Rekaan yang  menyokong hampir kesemua saiz badan penumpang, dipadankan dengan ruang kepala yang cukup besar, dan ruang kaki yang boleh dilaraskan dengan lebih luas menggunakan butang tambahan pada kerusi hadapan, anda boleh mendapatkan rehat yang cukup ketika berkelana untuk menyelesaikan urusan syarikat.
 

Lexus


Aspek NVH juga cukup mengkagumkan, di mana penulis tidak merasakan bunyi bising yang keterlaluan dalam apa jua julat kelajuan.

Sehinggakan penulis tertanya-tanya ketika mata hampir terpejam di belakang: Ini Toyota atau Lexus?
 

Camry


Di hadapan, Toyota telah mengubah sedikit posisi skrin infotainmen supaya ia sama aras dengan mata pemandu, dibantu oleh skrin yang lebih besar (9 inci), dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Biarpun skrin yang lebih besar dengan sistem audio JBL yang boleh tahan sedap juga telinga mendengarnya, penulis mendapati skrin tersebut tidak cukup tajam paparan grafiknya.
 

Camry


Namun, sepanjang penggunaan Apple CarPlay beserta aplikasi muzik YouTube Music, penulis cukup berpuas hati dengan prestasi yang ditawarkan, sehinggakan tidak sempat untuk meneroka apakah menu lain yang terkandung di dalam skrin tersebut.

Mungkin satu hari nanti.
 

Camry


Sebelum terlupa, aspek keselamatan Toyota Safety Sense kini adalah standard dengan peningkatan ciri-ciri seperti berikut:

  • Amaran Pra-pelanggaran (PCS) - kini dengan pengesanan pejalan kaki dan penunggang basikal
  • Amaran Keluar Lorong (LDA)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA) - ditambah Bantuan Pengesanan Lorong (LTA)
  • Dynamic Radar Cruise Control - ditambah ciri Low Speed Follow (semua kelajuan), kawalan berasaskan lampu isyarat membelok dan pengurangan kelajuan di selekoh
  • Bantuan Suluhan Tinggi Automatik


 

Camry


Pada aspek ini, satu pujian harus diberikan kerana Camry ini telah dilengkapi dengan ciri keselamatan yang hampir menyeluruh dan sebagai makluman, Toyota Camry 2022 merupakan unit import CBU dari Thailand, dan harga jualan bermula dari RM199,109.

Peningkatan harga yang seiring dengan penambahbaikan yang ditawarkan pada sedan segmen D nombor satu tahun 2021 ini.

Pada penulis, ini bukan lagi sedan tipikal dengan imej pakcik. Ini Lexus Camry!

 

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Siapa yang tidak kenal dengan SUV Honda CRV yang merupakan SUV terbesar dalam kalangan keluarga SUV…
Telah Diuji
Varian tertinggi terbaharu ini merupakan gabungan trenkuasa hibrid antara petrol dan motor elektrik…
Telah Diuji
Selain daripada jenama automotif Jepun, mereka yang mahukan kelainan boleh mendapatkan SUV jenama…