Kini, versi facelift baharu sahaja dilancarkan oleh UMW Toyota Motor dengan membawakan beberapa perubahan, terutama dari segi trenkuasa dan transmisi.

Tidak seperti Camry pra-facelift, Camry facelift kini datang dengan nadi 2.5L Dynamic Force (kod A25A-FKS) yang mampu menghasilkan 209 PS dan 253 Nm, atau peningkatan kuasa 25 PS dan 18 Nm.
Sistem transmisi pula adalah jenis Direct Shift automatik 10 nisbah kelajuan bagi menggantikan transmisi automatik lapan kelajuan, dan bacaan penggunaan bahan api pula adalah sekitar 6.8 liter/100 km.
Dari segi rupa, bahagian bampar hadapan Camry telah dikemaskini dengan rekaan yang lebih kemas, diikuti rim aloi bersaiz 18 inci yang lebih sporti, sementara bahagian belakang pula menempatkan perumah lampu utama dengan efek asap.

Perubahan yang besar dibawakan pada ruang kabin adalah pada skrin infotainmen di mana ia telah dialihkan ke posisi yang lebih tinggi dan lebih mudah untuk dibaca.
Skrin infotainmen bersaiz 9 inci itu kini menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem kamera 360 darjah.

Untuk penumpang belakang, tempat merehatkan tangan kini didatangkan dengan butang fungsi khusus bagi mengawal sudut condong tempat duduk sehingga lapan darjah, sistem audio, suhu sistem pendingin hawa, serta tirai penghadang cahaya matahari pada bahagian belakang.
Dari segi keselamatan, Toyota Camry 2022 dilengkapi dengan ciri Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri-ciri berikut:
- Amaran Pra-pelanggaran (PCS) - kini dengan pengesanan pejalan kaki dan penunggang basikal
- Amaran Keluar Lorong (LDA)
- Bantuan Pengekalan Lorong (LKA) - ditambah Bantuan Pengesanan Lorong (LTA)
- Dynamic Radar Cruise Control - ditambah ciri Low Speed Follow (semua kelajuan), kawalan berasaskan lampu isyarat membelok dan pengurangan kelajuan di selekoh
- Bantuan Suluhan Tinggi Automatik
Selain itu, Camry juga turut didatangkan dengan ciri brek automatik untuk lintasan trafik belakang (RCTA) serta Intelligent Clearance Sonar (ICS) yang akan mengesan kemungkinan objek dan mengaplikasikan brek secara automatik.

Toyota Camry 2022 boleh dilayangkan dengan lima warna menarik seperti Platinum White Pearl, Silver Metallic, Burning Black, Red Mica dan Graphite Metallic.
Hanya satu varian tunggal sahaja ditawarkan, iaitu Camry 2.5V dengan harga jualan rasmi bermula dari RM199,109.50 atas jalan tanpa insurans.