Pandu Uji: Mazda CX-3 2.0 2WD Plus, spesifikasi asas tapi rasa premium

oleh Mohamad Hanif|
Untuk pasaran tempatan, SUV segmen B merupakan antara kelas kenderaan yang sangat meriah.

Selain daripada jenama automotif Jepun, mereka yang mahukan kelainan boleh mendapatkan SUV jenama tempatan, atau model-model dari pasaran China dengan bermacam-macam jajan namun penawaran harga yang lebih kompetitif.

Di sini, Mazda Malaysia merupakan antara pengeluar automotif Jepun dengan barisan model SUV yang serba lengkap.
 

CX3


Mahukan SUV dua baris tempat duduk? Mereka ada tawarkan CX-3, CX-30, dan CX-5.

SUV mesra famili? Sudah pasti mereka ada CX-8 dan CX-9.

Sebagai sebuah model yang paling kecil, Mazda CX-3 boleh dikatakan sebagai 'pintu masuk' untuk mereka yang mahu merasai pengalaman pemanduan crossover/SUV Mazda.

Jika anda skeptikal dengan varian asas CX-3 yang dibekalkan dengan enjin 1.5 liter, kami yakin varian yang kami pandu uji kali ini merupakan jawapan yang anda cari untuk sebuah SUV Mazda yang memiliki sifat 'cukup makan'.

 

1. Enjin Skyactiv-G 2.0 liter beraksi cemerlang

skyactiv


Jika dibandingkan atas kertas, enjin 2.0 liter ternyata memiliki kelebihan yang tersendiri, dengan hamburan kuasa 154 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 206 Nm @ 2,800 rpm.

Biarpun tanpa bantuan turbo, permulaan pemanduan CX-3 2.0L Plus ini bukanlah satu masalah besar, jika pemandu bukan jenis yang tergesa-gesa mengalahkan SUV terpaling turbo di sebelah.

Transmisi automatik Skyactiv-Drive enam nisbah kelajuan juga cukup lancar, tanpa perlu risau tentang bacaan penggunaan bahan api setiap kali pedal ditekan.

Secara purata, penulis berjaya mendapatkan bacaan sekitar 7.4 liter untuk setiap 100 km, tidak lari jauh berbanding catatan rasmi pengeluar 6.3 liter/100 km.

 

2. Sesuai untuk jalan urban, kurang selesa untuk jalan jauh

CX3

 

Saiznya yang kecil, menjadikan CX-3 ini sebenarnya sebuah kenderaan yang sangat sesuai digunakan di sekitar Lembah Klang.

Dengan panjang kurang 4.3 meter, CX-3 ini mampu menawarkan radius putaran sekecil 5.3 meter.

Penulis tidak mempunyai masalah untuk mengendalikan SUV ini di kawasan parkir, di mana agak mudah untuk mengagak jarak di hadapan dan sisi kenderaan dari sudut pandang pemandu, walaupun tanpa bantuan kamera keliling.
 

CX3


Input daripada roda stereng kuasa elektrik juga cukup perisanya, menjadikan pemanduan yang menyeronokkan jika sekali-sekala bertemu jalan yang berselekoh.

Ruang kargo sebesar 350 liter itu juga memang cukup besar untuk memuatkan barangan yang diperlukan dan tidak diperlukan seperti koleksi kasut tumit tinggi dan balang makanan kucing.

Cuma penulis tidak berapa gemar jika terpaksa memandu CX-3 ini keluar melebihi jarak dua marhalah disebabkan tempat duduk yang tidak berapa selesa sangat.

Dalam aspek ini, penulis berkemungkinan besar akan memilih Mazda3 yang jauh lebih sporti dan tidak memenatkan untuk pemanduan jarak jauh.

 

3. Fungsi larasan manual untuk kereta baharu tahun 2024

cx3

 

Harus diingatkan, ini merupakan CX-3 varian pertengahan, di mana ia masih lagi didatangkan dengan beberapa fungsi larasan manual, dan bukannya menggunakan bantuan elektronik.

Tempat duduk? Kena laras secara manual. Mahu turunkan suhu dan lajukan tiupan angin? Kena pusing tombol kawalan pendingin hawa yang agak besar itu.

Mereka yang olskool pasti akan menghargai perkara-perkara sebegini di dalam kereta, daripada terpaksa menatal skrin mencari fungsi-fungsi yang tersembunyi.

Bagi penulis, ia bukanlah satu perkara yang negatif pun untuk sebuah CX-3, kerana ia sebenarnya mengurangkan kebergantungan kepada sistem elektronik yang lebih kompleks.

 

4. Ada juga ciri moden yang menyenangkan

CX3

 

Mujur juga CX-3 2.0 Plus ini didatangkan dengan ciri-ciri moden yang lebih diperlukan, seperti penyeka kaca dengan penderia titisan hujan, serta ciri lampu LED depan dan belakang yang lebih bergaya (berbanding CX-5 facelift).

Untuk ruang kabin, pemandu akan dibekalkan dengan roda stereng dan tombol gear balutan kulit, diikuti dengan paddle shifter dan tuil mod pemanduan Sport pada konsol tengah.

Susun atur papan pemuka juga tidak banyak berubah, di mana penulis merasakan kluster meter di hadapan pemandu juga masih lagi kekal dengan meter kelajuan analog yang diapit dua skrin digital kecil kiri dan kanan.
 

CX3


Sistem infohibur Mazda bersaiz 8 inci itu kini menyokong sambungan Apple CarPlay secara nirwayar, tanpa perlukan wayar yang berselirat.

Ia juga tidak perlu paparan menu yang kompleks, cukup dengan hanya melancarkan Apple CarPlay, dan memilih aplikasi navigasi pemetaan dan pemain audio sahaja untuk menjadi teman sepanjang perjalanan.

Paling penting, walaupun spesifikasi CX-3 ini nampak asas, tapi ia masih lagi dibekalkan dengan brek parkir elektronik, dibantu dengan fungsi Auto Hold yang sangat berguna sewaktu menempuh kesesakan jalan raya di Lembah Klang.

 

5. CX-3 SUV kecil yang selamat untuk pemanduan dalam bandar

CX3

 

Salah satu perkara yang penulis boleh puji ialah kewujudan spesifikasi keselamatan yang standard untuk semua varian CX-3.

Selain daripada enam beg udara, ABS, EBD, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Bantuan Mula Mendaki, serta cagak ISOFIX, CX-3 juga tampil dengan beberapa ciri keselamatan termaju seperti:
• Kawalan Suluhan Tinggi (HBC)
• Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)
• Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
• Amaran Keluar Lorong (LDWS)
• Sokongan Brek Bandar Pintar (SCBS)

Kesemua ciri yang 'asas' tapi premium ini boleh didapati dengan harga jualan bermula dari RM126,159.

Kadang kala, ringkas itu lebih menyenangkan. Tak begitu?

 

Spesifikasi ringkas Mazda CX-3 2.0 Plus

CX3


Enjin Skyactiv-G 2.0L, empat silinder sebaris
154 hp @ 6,000 rpm, 206 Nm @ 2,800 rpm
Transmisi automatik Skyactiv-Drive 6 nisbah kelajuan
Pacuan roda hadapan
Suspensi MacPherson/Torsion Beam
Rim aloi 16 inci, tayar 215/60R16
Ruang kargo 350 liter

 

Berita Berkenaan

Kereta
VW Touareg merupakan SUV pertama bagi jenama VW, tetapi ia seolah-olah ‘underated’ bagi kalangan…
Informasi
Sejak dilancarkan pada penghujung April, PEUGEOT 408 telah menerima maklum balas positif dengan…
Kereta
Mungkin ada beberapa “luahan” penulis sedikit tidak sependapat dengan segelintir pembaca, kerana CX…