Pandu Uji: Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC 2023 - lebih besar, rasa premium, kurang garang

oleh Mohamad Hanif|
Seperkara yang harus para pembaca Careta tahu ialah SUV GLC-Class merupakan model Mercedes-Benz yang paling laris terjual, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Sudah beberapa model GLC-Class telah kami uji sebelum ini, termasuklah SUV versi coupe serta versi pantas AMG, setiap satu mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

Namun apa yang pasti, rupa paras GLC-Class generasi pertama memang mampu mencuri tumpuan di atas jalan raya.
 

glxc


Dengan kehadiran GLC-Class generasi kedua yang telah pun dilancarkan di Malaysia pada awal tahun yang lalu, kami telah pun diberikan peluang untuk memandu uji GLC 300 4MATIC dan menyelami semangat baharu yang ditawarkan pada model ini.

Berikut merupakan input ringkas kami:

 

1. Dimensi bertambah besar

GLC


Berbanding model terdahulu, GLC baharu ini membawakan ukuran sepanjang 4,716 mm (+60 mm), lebar 1,890 mm (tidak berubah), tinggi 1,640 mm (-4 mm) dengan jarak antara roda sepanjang 2,888 mm (+15 mm).

Jadi, penambahan ukuran dimensi itu tadi sedikit sebanyak menyumbang kepada ruang kabin yang dirasakan lebih luas dan tidak menyesakkan berbanding model GLC yang lama.
 

GLC


Disebabkan ruang yang lebih besar, anda boleh mendapatkan julat larasan tempat duduk dan kedudukan roda stereng yang lebih ideal dan bersesuaian dengan bentuk badan dan ketinggian anda.

Ruang kargo juga turut bertambah besar sebanyak 70 liter kepada 620 liter, cukup besar untuk memuatkan barangan keperluan atau ketika sedang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.
 

SUV


Walaupun bersaiz besar, SUV ini dilengkapi dengan sistem kamera 360 darjah untuk memudahkan pengendalian di laluan sempit serta kawasan parkir bertingkat.

Jangan tak tahu, SUV ini ada menawarkan ciri bonet telus pandang untuk mod pemanduan off-road!


2. Ruang kabin lebih mewah

GLC


Sama seperti model sedan C-Class, GLC 300 4MATIC turut membawakan susun atur papan pemuka yang diinspirasikan daripada model S-Class yang lebih besar.

Secara tidak langsung, ia membawakan pengalaman yang jauh lebih mewah dan lebih cantik jika dibandingkan dengan pesaing-pesaingnya.

Anda akan mendapat skrin kluster digital 12.3 inci, skrin tengah 11.9 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta pelbagai fungsi lain yang turut dimuatkan pada skrin paparan tersebut.
 

glc


Kemasan pada papan pemuka seakan gentian karbon memberikan sentuhan yang cukup premium, namun ia tidak diseimbangkan dengan penggunaan bahan yang bersesuaian.

Seperti contoh plastik hitam yang gemar memerangkap habuk dan cap jari. Satu kelaziman yang ada pada mana-mana model Mercedes-Benz masa kini.

Anda boleh lupakan kekurangan tersebut dengan menikmati alunan irama rock kapak daripada sistem bunyi Burmester yang cukup menginzalkan sepanjang perjalanan.  
 

3. Butang fungsi kapasitif yang tidak menawarkan rasa premium

GLC


Satu kelemahan yang wujud pada GLC ialah penggunaan butang sensitif sentuhan yang wujud pada roda stereng, kawalan tempat duduk pada panel pintu, dan di bahagian bawah skrin infohibur.

Bagi penulis, ia tidak menawarkan rasa premium seperti yang wujud pada model terdahulu, dan ada kalanya sukar untuk dioperasikan.
 

glc


Kekurangan itu nyata boleh dilupakan setelah anda sudah selesai menetapkan posisi tempat duduk yang selesa, dan menyimpan tetapan tersebut dengan menggunakan mod memori yang tersedia.

Skrin infohibur konfigurasi potret yang besar di bahagian tengah itu memang boleh dipuji - paparan grafik yang tajam dan jelas, serta mudah untuk dikawal walaupun pada akhirnya ia akan turut memerangkap kesan cap jari.
 

4. Pengalaman pemanduan yang premium

glc


Secara standard, hanya satu varian sahaja ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

GLC 300 4MATIC ini dibekalkan dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo dengan hamburan kuasa 258 hp dan 400 Nm, dibantu dengan sistem hibrid ringan 48 voltan (22.8 hp/200 Nm) dan transmisi automatik sembilan kelajuan.

Kuasa yang dibekalkan itu sudah cukup untuk menggerakkan SUV ini dengan mudah, dan tipikal model C-Class, ia juga tidak menghasilkan gegaran enjin yang ketara sewaktu dihidupkan.
 

GLC


Pemanduan juga cukup lancar, dengan pengedaran kuasa yang lebih membuatkan SUV ini rasa lebih premium walaupun pada julat kelajuan melebihi had laju kebangsaan.

Pengendalian juga turut dirasakan bertambah baik berbanding model terdahulu, di mana SUV ini amat patuh dengan arahan pemandu ketika di atas jalan raya, jalan yang berbukit, serta pergerakan yang sedikit agresif.
 

glc


Disebabkan ia bukanlah SUV sporti, kesan olengan badan boleh dirasai - mungkin sekali sebab dimensi SUV ini agak tinggi.

Pujian boleh diberikan kepada sistem gantungan standard GLC 300 4MATIC yang nyata mampu 'menapis' segala pergerakan yang tidak enak, menjadikan pemandu dan penumpang duduk dengan selesa.
 

5. Rupa paras luaran yang kurang garang

glc


GLC generasi baharu membawakan perubahan dari segi rupa paras, di mana ia dilihat mengikuti trend rekaan Mercedes-Benz masa kini yang mahu menyeragamkan rekaan kereta-kereta mereka.

Rekaan hadapan telah menjadi semakin elegan, dan tidak nampak terlalu garang, diikuti dengan unit lampu belakang yang juga kini lebih lembut bentuknya, sama seperti model C-Class.
 

glc


Jika dilihat daripada sudut pandang sisi, rekaan GLC baharu ini banyak diseimbangkan dengan kehadiran rim bersaiz 20 inci pada keempat-empat sudut.

Cuma sayang sekali, tip ekzos bersegi di bahagian belakang itu sebenarnya merupakan unit hiasan sahaja. Mungkin perlu disambungkan menggunakan sokongan Bluetooth. Sedih bukan.
 

GLC


Berita baik, sekiranya anda tidak sempat untuk mendapatkan unit GLC 300 4MATIC versi CBU yang kami pandu uji ini, Mercedes-Benz Malaysia kini menawarkan unit pemasangan tempatan (CKD) dengan harga jualan yang jauh lebih murah!

Berbanding unit CBU berharga RM429,888, Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC CKD boleh didapati pada harga bermula dari RM378,888, dengan penambahan ciri baharu seperti bumbung suria panorama serta akses bebas tangan untuk pintu belakang.

Baca: Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC 2023 (CKD)

Berita Berkenaan

Informasi
Minggu lalu, GWM Malaysia telah mengumumkan harga jualan bagi Tank 300 ini yang diimport sepenuhnya…
Kereta
VW Touareg merupakan SUV pertama bagi jenama VW, tetapi ia seolah-olah ‘underated’ bagi kalangan…
Informasi
Sejak dilancarkan pada penghujung April, PEUGEOT 408 telah menerima maklum balas positif dengan…