Nissan Rogue 2021 diperkenal, bakal jadi X-Trail baharu?

oleh Muhammad Md Tajudin|
Nissan Rogue 2021
Nissan Rogue 2021
Persaingan SUV segmen C berlangsung sengit ibarat sedan segmen C sebelum ini. Tiga model yang mudah untuk dikaitkan ialah Honda CR-V, Toyota RAV-4 dan Nissan X-Trail.

Itu belum dikira dengan jenama lain daripada Jerman atau Korea Selatan dan masing-masing mempunyai model dengan kelebihan tersendiri.

Terbaru, Nissan memperkenalkan SUV Rogue untuk pasaran Amerika Syarikat dengan pakej menarik.

Rogue adalah model asing untuk pasaran tempatan dan lebih mudah jika diberitahu ia adalah penjenamaan semula X-Trail untuk Amerika Syarikat dan Kanada.

Asalnya Rogue adalah model sendirian yang pertama kali diperkenalkan pada Januari 2007 di AS dan dikeluarkan sehingga 2015.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Nissan Rogue 2021

 

Pada masa sama, Rogue generasi kedua (versi X-Trail) mula dijual di AS pada November 2013 di mana model generasi pertama turut dijual beriringan dan diberi nama baharu iaitu Rogue Select.

Model itu digantikan dengan Rogue Sport pada 2017 yang dijenamakan dari Nissan Qashqai pasaran Eropah.

Rogue yang baru diperkenalkan di AS ini adalah generasi ketiga dan pada pendapat penulis berpotensi untuk dijenamakan sebagai X-Trail baharu menggantikan model T32 yang berada di pasaran sejak 2013.

Dari segi reka bentuk, Rogue baharu tampil dengan gayaan rugged dan utilitarian. Jika diambil kira, gayaan tersebut membentuk X-Trail generasi pertama sehingga sekarang.

Nissan meletakkan rekabentuk luaran dan dalaman Rogue sebagai refleksi kepada versatil, menyeronokkan, edgy dan berdaya cabaran.

 

Nissan Rogue 2021

 

Bahagian depan tampil menarik dengan membawa evolusi gril V-Motion. Lampu dipisahkan kepada dua bahagian atas dan bawah dan merupakan trend kereta sekarang.

Gaya lampu dua tingkat ini dibawa oleh Juke generasi pertama yang diteruskan sehingga generasi kedua. Gayaan ini juga mengingatkan kepada Nissan Livina baharu.

Selain itu, gril depan Rogue adalah jenis aktif boleh dibuka dan ditutup bagi mengawal aliran udara ke bahagian enjin. 

Dari tepi, tiada garisan dramatik dan kelihatan ringkas dan kemas. Pilihan roda ada tiga dari 17 hingga 19 inci.

Bahagian belakang pula bersegi dan melambangkan praktikaliti untuk membuka pintu dan memuatkan barangan.

 

Nissan Rogue 2021

 

Dari gambar yang diberikan Rogue ini nampak besar tetapi hakikatnya 1.5 inci lebih pendek dan 0.2 inci lebih rendah berbanding generasi terdahulu.

Bahagian dalam Rogue juga ringkas dan tidak mengejar imej futuristik.

Walaupun ringkas, maklumat kenderaan ditayang pada tiga paparan  mengikut varian iaitu head-up display berwarna saiz 10.8 inci, meter digital 12.3 inci dan skrin sesentuh terapung sembilan inci. 

Penumpang depan dan belakang diberikan kerusi Zero Gravity untuk keselesaan semasa pemanduan jarak dekat atau jauh.

Mengenai jumlah penumpang, Rogue mempunyai dua baris tempat duduk untuk lima orang berbanding X-Trail sesetengah pasaran dengan tujuh tempat duduk.

 

Nissan Rogue 2021

 

Dari segi keselamatan, kesemua varian Rogue dilengkapi teknologi Nissan Safety Shield 360 yang terdiri daripada Automatic Emergency Braking with Pedestrian Detection, Blind Spot Warning, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning, High Beam Assist dan Rear Automatic Braking.

Satu lagi ciri standard penting ialah Rear Door Alert bagi mengingatkan pemandu untuk memeriksa bahagian belakang supaya tiada penumpang atau kanak-kanak yang tercicir.

Menggerakkan Rogue setakat ini ialah pilihan enjin tunggal 2.5 liter berkuasa 181hp dengan tork 245Nm yang dipadan bersama transmisi Xtronic CVT.

Untuk rekod, X-Trail pasaran tempatan mempunyai tiga pilihan iaitu 2.0 liter, 2.0 liter hibrid dan 2.5 liter.

Kuasa di atas jalan pula ditugaskan kepada pacuan dua roda depan (FWD) atau kesemua roda (AWD).

 

Nissan Rogue 2021

 

Varian FWD mempunyai tiga mod pemanduan iaitu Sport, Standard dan Eco manakala AWD lengkap dengan lima mod iaitu Off-road, Snow, Standard, Eco dan Sport.

Di AS ada empat varian Nissan Rogue iaitu S, SV, SL and new Platinum.

Berkenaan harga, Nissan masih belum mengumumkannya dan adakah Rogue bakal dijenamakan sebagai X-Trail baharu?

Kita perlu tunggu dan seperti dikatakan awal tadi, ianya calon yang sesuai dan munasabah.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Kredit foto: Nissan

Berita Berkenaan

Berita Global
  Untuk pasaran Amerika Syarikat, Nissan telah memperkenalkan Rogue 2024 dengan rupa baharu dan…
Berita Global
Meskipun beberapa keping gambar tersebut dilihat tidak begitu jelas, namun ia sudah cukup untuk…
Berita Global
Walaupun di dalam dokumen itu tidak menyebut sebarang nama model, akan tetapi rekaan yang…