
Untuk pasaran Amerika Syarikat, Nissan telah memperkenalkan Rogue 2024 dengan rupa baharu dan naik taraf kelengkapan.
Rogue dibahagikan kepada empat varian iaitu S, SV, SL dan Platinum yang kesemuanya digerakkan enjin KR15DDT 1.5 liter tiga silinder turbo.
Enjin itu menghasilkan 201 kuasa kuda (hp) pada 5,600 rpm dan tork 305Nm dari 2,800 sehingga 4,000 rpm.
Kotak gear CVT Xtronic dan pilihan pacuan dua atau semua roda dipadan bersama enjin. Turut dilengkapi Idle Stop/Start untuk penjimatan petrol.

Reka bentuk Rogue yang menonjol diserlahkan lagi dengan jeriji V-motion baharu, rekaan dalam lampu belakang dan logo kemasan satin.
Rogue SV menggunakan rim 18 inci baharu. Pada bahagian dalam Nissan menggunakan warna dan tekstur baharu untuk panel pintu, kerusi dan konsol tengah.
Bahagian luar dan dalam Rogue nampak sepadan dan memberikan suntikan berbeza daripada pesaing lain.
Selain itu, pad pengecas tanpa wayar, skrin multimedia dan skrin meter 12.3 inci dijadikan ciri asas untuk Rogue SL.

Di antara empat varian, Rogue Platinum ditonjolkan dengan gaya mewah seperti lengkungan roda hitam kilat, riasan khas dan rim 19 inci baharu.
Bahagian dalam pula ditawarkan dalam balutan coklat Chestnut yang membangkitkan aura mewah untuk sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) keluarga.
Selain itu, Rogue SL dan Platinum dilengkapi sistem Google built-in dengan aplikasi Google Assistant, Google Maps dan pelbagai lagi.
Sistem Google built-in membolehkan pengguna menikmati aplikasi Google tanpa perlu menghubungkan atau menyambungkannya dengan telefon pintar.

Tidak eksklusif, pengguna masih boleh menghubungkan iPhone dengan sistem multimedia. Rogue S dan SV didatangkan bersama skrin lapan inci.
Dari segi praktikaliti, kerusi baris kedua boleh dipisahkan secara 60/40 dan kapasiti simpanan sehingga 2,098 liter apabila dilipat sepenuhnya.
Lebih mudah, Rogue SV dan ke atas dilengkapi pintu but berkuasa dan bukaan dengan gerakan (motion-activated) untuk SL dan Platinum.
Dari segi keselamatan, kesemua varian Rogue dilengkapi Nissan Safety Shield® 360 dengan fungsi Peringatan Lintasan Trafik Belakang dan Amaran Titik Buta.

Turut dilengkapi Amaran Lencongan, Bantuan Lampu Tinggi, Pembrekan Belakang Automatik dan Pembrekan Kecemasan Automatik dengan Pengesanan Pejalan Kaki.
Rogue SV dilengkapi ProPILOT Assist manakala Rogue SL dan Platinum didatangkan bersama ProPILOT Assist dengan Navi-Link.
Fungsi itu menggunakan maklumat dari pengesanan lokasi kenderaan untuk melaras kelajuan Rogue sebelum melalui persimpangan atau selekoh lebuh raya.
Harga belum dikongsi dan Rogue 2024 mula ditawarkan di Amerika Syarikat pada awal 2024.
Penulis: Muhammad Md Tajudin / Gambar: Nissan
