Ya, dari segi luaran, agak sukar untuk membezakan antara model PHEV dengan model petrol yang biasa, melainkan penambahan slot tambahan untuk pengecasan bateri, serta lencana Plug-In Hybrid EV pada pintu hadapan dan pintu tailgate.
Ruang kabin pula tidak membawakan perbezaan yang ketara seperti skrin infotainmen sembilan inci dan skrin kluster digital 12.3 inci, kecuali penambahan paparan pada skrin yang memberikan informasi berkenaan trenkuasa PHEV seperti kapasiti pengecasan bateri.
Dari segi teknikal, Mitsubishi masih lagi merahsiakan spesifikasi yang bakal ditawarkan, namun dalam laporan terdahulu pengeluar itu mengesahkan bahawa Outlander PHEV 2022 memiliki kuasa dan kapasiti pek bateri yang lebih besar untuk jarak pemanduan yang lebih jauh.
Terdapat juga ura-ura Mitsubishi bakal memperkenalkan versi yang lebih berkuasa oleh divisyen Ralliart yang bakal membawakan kembali lencana Evolution pada SUV ini.
Seperti yang dikatakan, Outlander PHEV akan dilancarkan secara rasmi diperingkat global pada 28 Oktober dan mula dijual di Jepun pada pertengahan Disember ini diikuti pasaran Amerika Syarikat pada tahun hadapan.