
Model pengganti Outlander (generasi keempat) diperkenal pada Februari 2021 dan versi hibrid plug-in (PHEV) menyusul di Jepun pada Oktober 2021.
Outlander baharu boleh dikatakan hebat dengan reka bentuk segak dan nadi canggih PHEV.
Terbaru, Mitsubishi Motors North America (MMNA) mengumumkan penawaran Outander PHEV 2023 di beberapa pasaran terpilih bermula November.
SUV tujuh penumpang ini ditawarkan daripada $39,8453 (RM183,717).

Apa ciri menarik pada Outlander PHEV? Sebagai sebuah SUV PHEV, Outlander boleh dipandu sejauh 61 km menggunakan kuasa elektrik tunggal.
Maknanya pemandu boleh menikmati kuasa elektrik tanpa menggunakan enjin petrol 2.4 liter MIVEC.
SUV ini dibekalkan bateri litium-ion 20 kWj 350 volt yang dipasang di bawah lantai dan di antara roda bagi mendapatkan pusat graviti rendah dan pengurangan minimal jarak kelegaan.
Ciri tersebut mewakili 40 peratus penambahbaikan berbanding model terdahulu. Iya, Mitsubishi telah memperkenalkan Outlander PHEV seawal 2012 lagi.

Menggunakan pengecas pantas DC, pek bateri itu boleh dicas sehingga 80 peratus dalam masa kira-kira 38 minit.
Selain pengecas dinding Tahap 1 atau 2, Outlander PHEV juga boleh dicas menggunakan enjin melalui Charge Mode semasa memandu atau parkir.
Bercakap tentang Mitsubishi tidak lengkap jika tidak disentuh mengenai teknologi cengkaman.
Outlander PHEV menggunakan generasi baharu sistem motor berkembar Super All-Wheel Control (S-AWC).

Sistem ini menggunakan enjin dan motor depan bagi menggerakkan roda depan dan motor belakang kendiri bagi memacu roda belakang.
Kedua-dua motor itu lebih berkuasa daripada sebelumnya dengan output 114 hp di depan dan 134 hp di belakang. Kuasa gabungan ialah 248 hp dengan daya kilas 450 Nm.
Setelah lama diperkenalkan di beberapa pasaran dunia adakah Outlander bakal dijual di negara kita? Atau sekurang-kurangnya model biasa dahulu?
Untuk makluman, Outlander belum lagi memasuki mana-mana negara jiran.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
