Mitsubishi Outlander PHEV 2022 - pek bateri 20 kWh dengan jarak sifar emisi mampu capai 87 km!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah beberapa kali gambar teaser didedahkan, Mitsubishi akhirnya mendedahkan perincian spesifikasi bagi model plug-in hybrid Mitsubishi Outlander PHEV 2022.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Outlander PHEV 2022 kini menampilkan pek bateri 20 kWh yang lebih besar kapasitinya (13.8 kWh pada model terdahulu) di mana ia mampu membenarkan jarak sifar emisi sejauh 87 km (mengikut data WLTP), berbanding 39 km pada model terdahulu.

Selain daripada itu, jarak gandingan secara keseluruhan juga semakin bertambah disebabkan peningkatan kapasiti tangki bahan api.

Sementara itu, spesifikasi enjin serta angka output masih lagi kekal menjadi satu rahsia yang tidak didedahkan oleh Mitsubishi buat masa ini.
 

Outlander


Namun menurut Mitsubishi, trenkuasa baharu ini dikatakan mampu menghasilkan output 40 peratus lebih tinggi pada motor elektrik depan dan belakang, di mana motor hadapan didatangkan dengan fungsi booster untuk meningkatkan kadar voltan dan dalam masa yang sama menambahbaik kadar kecekapan unit penjana.

Motor pada gandar belakang pula disatukan dengan unit kawalan bagi membebaskan lebih banyak ruang untuk kabin dan menyumbang kepada penebatan bunyi yang lebih baik.

Mod pemanduan yang ditawarkan termasuklah Normal, Tarmac, Gravel, Snow, Mud, Eco dan Power, dan tidak ketinggalan ciri pemanduan pedal tunggal.
 

Outlander


Kuasa (yang tidak dinyatakan itu) disalurkan kepada semua roda menerusi sistem Super-All Wheel Control (S-AWC) versi terkini yang mampu menguruskan agihan kuasa kepada kedua-dua gandar, digandingkan dengan sistem torque vectoring Active Yaw Control (AYC) untuk gandar belakang.

Dengan adanya sistem ini dan casis yang lebih tegar, Outlander PHEV kini menjadi lebih baik dari segi pengendalian dan prestasi jika dibandingkan dengan model terdahulu.

Dari segi rekaan, tidak banyak perbezaan yang boleh dikesan melainkan penambahan slot untuk mengecas bateri, lencana PHEV, serta penambahan menu untuk sistem plug-in hybrid pada sistem infotainmen dan kluster digital.
 

Outlander


Malah, Outlander PHEV juga turut mengekalkan konfigurasi tiga tempat duduk, namun kapasiti kargo belakang tidak pula didedahkan.

Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah bantuan pemandu MI-PILOT yang menggandingkan ciri kawalan jelajah adaptif dan bantuan pengekalan laluan.

Setakat ini, Outlander PHEV 2022 disahkan memasuki pasaran Amerika Utara pada separuh kedua tahun hadapan.

Berita Berkenaan

Berita Global
  Outlander PHEV generasi terdahulu dan model baharu yang dilancarkan pada Disember 2021 terjual…
Berita Global
  Model pengganti Outlander (generasi keempat) diperkenal pada Februari 2021 dan versi hibrid…
Berita Global
Ya, dari segi luaran, agak sukar untuk membezakan antara model PHEV dengan model petrol yang biasa…