MG ZS EV dilancarkan di Thailand - 150 PS, 350 Nm, jarak operasi 235 km

oleh Mohamad Hanif|

Sementara Malaysia masih menantikan saat pelancaran hatchback EV dari Jepun, negara jiran kita Thailand sudah pun menerima SUV elektrik mereka. 

MG ZS EV telah diperlihatkan buat kali pertama pada Bangkok Motor Show 2019 dan dilancarkan dengan harga yang sangat menarik, THB 1.19 juta (RM160 ribu). 

SUV segmen B ini dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 150 PS dan daya kilas 350 Nm digandingkan dengan pek bateri lithium-ion 44.5 kWh. 
 


Sekali cas penuh, ia mampu memberikan jarak operasi sejauh 337 km mengikut kitaran NEDC, manakala ujian dunia sebenar pula (mengikut kondisi Bangkok) membolehkan SUV ini bergerak sejauh 235 km sahaja. 

Proses pengecasan menggunakan MG Home Charger akan mengambil masa kira-kira 6.5 jam atau 30 minit untuk kapasiti 80 peratus jika menggunakan ciri pengecasan pantas. 

Tiada sebarang perbezaan ketara dari segi rekaan luaran jika dibandingkan dengan MG ZS versi petrol, namun memasuki ruang dalaman, terdapat beberapa perkara yang unik pada SUV elektrik ini. 
 


Sebagai contoh, di bahagian tengah MG ZS ini hadir dengan tombol gear jenis rotary ala-ala Jaguar Land Rover, manakala brek tangan fizikal pula telah digantikan dengan brek parkir elektronik dengan tambahan fungsi auto hold. 

Walaupun dengan ciri yang begitu canggih, paparan kluster meter pula masih lagi analog dan tidak didatangkan dengan skrin paparan digital.

Antara ciri-ciri standard yang ditawarkan termasuklah bumbung suria panorama, lampu automatik, wiper automatik, upholsteri kulit, tempat duduk berkuasa elektrik, kemasukan tanpa kunci, sistem penapis udara PM 2.5 dan juga sistem pintar i-SMART.
 


Sistem pintar yang merupakan poin jualan unik (USP) ini turut didatangkan dengan aplikasi mudah alih yang membolehkan pemandu membuka dan mengunci kenderaan, menghidupkan enjin, menyemak status kenderaan dan sebagainya. 

1,000 pembeli pertama MG ZS EV di Thailand akan menerima waranti bateri lapan tahun tanpa had perbatuan, insurans setahun percuma dan peranti MG Home Charger secara percuma bernilai THB 45 ribu (RM6,062) dan kos pemasangan percuma yang bernilai THB 20 ribu (RM2,694).

 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Global
ZS EV adalah model paling canggih pernah dihasilkan MG dan memberikan nilai terbaik untuk harga…