EV mahal? Ini EV buatan MG Motor dari UK - harga RM110K sahaja

oleh Muhammad Md Tajudin|
Maklum balas dan rungutan tentang kenderaan elektrik (EV) yang mahal bukan perkara asing. Ditambah pula dengan polisi sesetengah negara dalam percukaian EV menjadikan kereta jenis ini kurang diberi perhatian.

Produk baharu perjalanannya jauh sebelum diterima ramai dan ketidakpastian yang timbul tidak membantu dalam mempopularkan EV di kalangan pengguna kebanyakan.

Pengeluar China mempunyai keupayaan untuk memasarkan EV secara besar-besar di pasaran global tinggal lagi penjenamaan perlu dirancang dan dikukuhkan terlebih dahulu.

Cabaran yang ada sebenarnya adalah peluang buat pengeluar yang mampu bertindak segera. Ini lah yang dilakukan oleh MG Motor UK dengan memperkenalkan model aras mula (entry level) MG ZS EV pada 17 Julai 2019.

Model ini dikatakan sebagai EV pertama dengan harga mampu milik dan mesra keluarga. MG ZS EV direka untuk membawa teknologi EV ke khalayak ramai dan merupakan episod baharu buat jenama British tersebut.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
MG ZS EV


ZS EV adalah model paling canggih pernah dihasilkan MG dan memberikan nilai terbaik untuk harga yang dibayar oleh pemilik. Model ini adalah episod baharu buat MG, jenama yang mempunyai sejarah panjang sejak tahun 1924 dan kini dimiliki oleh SAIC Motor dari China.

ZS EV menggunakan pek bateri lithium-ion 44.5 kWh sejukan air dan motor elektrik dengan kuasa 105 kW/143 PS dan daya kilas 353 Nm. Pek bateri diletakkan di bawah kereta dan membolehkan ruang kabin untuk penumpang dan isian barang tidak terganggu.

Posisi tersebut membolehkan pusat graviti berada rendah seterusnya membantu dalam keseronokan memandu dan melalui jalan berliku. Bercakap tentang pemanduan, ZS EV mempunyai tiga mod dan tiga tahap pembrekan regeneratif bagi membekalkan kuasa kepada motor elektrik.

Kereta ini boleh dipandu dengan jarak 262 kilometer (pemanduan campuran WLTP) dan walaupun nampak seperti tidak jauh tetapi sudah memadai untuk perjalanan harian pergi dan pulang dari tempat kerja.

 

MG ZS EV

 

Selain sistem EV yang canggih, varian ZS EV Excite dan Exclusive dilengkapi teknologi MG Pilot seperti Brek Kecemasan Termaju, Pengawasan Titik Buta, Bantuan Pengekalan Laluan dan Kawalan Jelajah Adaptif.

Spesifikasi ZS EV juga mewah dengan bumbung gelungsur Sky Roof bagi menikmati cahaya matahari atau udara malam dan mewujudkan suasana lapang di dalam kabin kereta. Model ini turut dilengkapi skrin sesentuh berwarna dengan saiz lapan inci dan fungsi sambungan Android Auto, Apple CarPlay dan Bluetooth.

agi menangani sebarang kerisauan pelanggan, ZS EV ini didatangkan dengan waranti selama tujuh tahun untuk kereta dan bateri lithium-ion.

Tetapi sebenarnya apa yang membuatkan MG ZS EV ini mampu milik?

Pertama sekali, harga permulaan buat pelanggan yang berminat ialah £21,495 (RM110,045). Walaupun harga tersebut berada pada tahap enam angka namun ianya berpatutan untuk sebuah EV.

Jika diikutkan harga rasmi kereta ini lebih tinggi tetapi dengan bantuan kerajaan United Kingdom, ia menjadi lebih mampu milik.

 

MG ZS EV

 

1,000 pemilik pertama boleh memiliki MG ZS EV varian Excite pada harga £21,495 (RM110,045) selepas ditolak dengan geran kerajaan berjumlah £3,500 (RM17,918) dan padanan geran MG EV. Harga asal varian ini ialah £28,495 (RM145,883).

MG juga akan memadankan geran kerajaan untuk varian Exclusive menjadikan harga asal berjumlah £30,495 (RM156,122) turun kepada £23,495 (RM120,285).

Bukan setakat itu,1,000 pelanggan terawal juga layak untuk menerima poin pengecasan rumah dan pemasangan standard secara percuma.

Inilah tawaran yang berbaloi dan strategi MG bagi membolehkan lebih ramai pengguna dapat memiliki kereta elektrik.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

*£1.00 = RM5.12

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
MG ZS EV terbaharu ini membawakan ciri moden elektrik pada reka bentuk grill rata dengan paten…
Berita Global
Sementara Malaysia masih menantikan saat pelancaran hatchback EV dari Jepun, negara jiran kita…