MAN lancar trak generasi baharu TGS - standard piawaian Euro V, harga dari RM340k

oleh Mohamad Hanif|
Syarikat MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd hari ini secara rasmi melancarkan rangkaian trak tugas berat generasi baharu (model TGS) yang didatangkan standard dengan enjin yang mematuhi piawaian Euro V.

Penawaran ini sekaligus menjadikan MAN sebagai syarikat pengeluar trak tugas berat yang pertama di Malaysia yang berbuat demikian, seterusnya memenuhi tanggungjawab dalam membantu mengurangkan jejak karbon industri pengangkutan dan logistik.

MAN Malaysia menawarkan lima varian model TGS  yang dikhususkan untuk tiga aplikasi utama, iaitu:

  • 4x2 dan 6x2 untuk pengangkutan kontena
  • 4x2 dan 6x2 untuk spesifikasi ADR (Perjanjian Berkaitan Pengangkutan Barangan Bahaya melalui Jalan Raya)
  • 6x4 untuk pembinaan dan kegunaan tugas berat

 

MAN


Untuk memastikan tugas-tugas pengangkutan diselesaikan dengan baik, MAN mendatangkan dua pilihan enjin.

Varian 4x2 didatangkan dengan enjin enam silinder sebaris D2066 10.5 liter yang mampu menghasilkan 360 hp dan daya kilas 1,800 Nm, sementara varian 6x2 pula mendapat enjin yang sama, namun dengan angka output 440 hp dan daya kilas 2,100 Nm.

Sementara varian 6x4 untuk tugas berat mempunyai enjin enam silinder sebaris D2676 12.4 liter menghasilkan julat kuasa antara 480-540 hp, serta daya kilas 2,300-2,500 Nm.

Kedua-dua pilihan enjin ini dipadankan dengan transmisi TipMatic Traxxon 12 nisbah kelajuan, lengkap dengan teknologi Selective Catalytic Reduction (SCR) untuk mengurangkan pelepasan gas berbahaya ke atmosfera.
 

EasyControl
MAN Easy Control


Barisan trak MAN terbaharu ini menampilkan ciri inovasi seperti MAN Easy Control dan Smart Select.

MAN Easy Control menawarkan pilihan fungsi yang boleh disesuaikan dan boleh dikendalikan oleh pemandu semasa berada di luar trak, sementara MAN Smart Select pula merupakan kawalan sistem infotainmen dua peringkat bagi memastikan operasi lebih mudah dan tepat.
 

MAN


Roda stereng pula boleh dilaraskan bermula dari sudut 20o kepada 55o - menghampiri tetapan stereng kereta penumpang - bagi menawarkan kedudukan stereng yang ideal untuk pemandu dengan bentuk badan yang berbeza.

Malah, untuk memudahkan urusan keluar masuk dari kabin, kedudukan stereng itu tadi boleh diubah kepada sudut tegak ketika lori sedang diparkir, dan ia memberikan lebih ruang maksimum kepada pemandu.
 

MAN


Susun atur kokpit terbahagi kepada dua aras, di mana panel instrumen di bahagian bawah lebih bersudut ke arah pemandu untuk kebolehcapaian optimum, sementara paparan di bahagian atas diletakkan lebih jauh untuk kadar penglihatan yang optimum.

Generasi baharu trak MAN menawarkan tahap kebolehpercayaan dan kualiti produk seperti yang telah disahkan oleh laporan bebas TUV yang terkini, di mana ia menampilkan seni bina elektronik terkini yang dipermudah, berkuasa dan sedia untuk masa hadapan.

Ini bertujuan untuk menambahbaik dan mengembangkan fungsi trak sepanjang hayat perkhidmatannya.
 

MAN


Untuk kemudahan pengurusan armada, MAN turut menyediakan sistem MAN Telematics (dengan langganan percuma dua tahun) yang mampu mengurangkan ketidakcekapan operasi dan kos, serta memastikan semua trak MAN TGS baharu beroperasi pada tahap optimum.

Untuk memastikan tahap keselamatan di jalan raya, semua trak MAN TGS didatangkan dengan sistem keselamatan dan bantuan pemandu yang merangkumi:

  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Program Kestabilan Elektronik (ESP)
  • Bantuan Brek Kecemasan (EBA)

Harga jualan bermula dari RM340,000 untuk spesifikasi standard, tidak termasuk SST.