Luminox Jungle Survival Course uji ketahanan fizikal, mental dan pengetahuan 26 peserta dari Malaysia, Singapura dan Brunei

oleh Mohamad Hanif|
Minggu lalu, Careta telah diberikan peluang untuk menghadiri sebuah program Luminox Jungle Survival Course selama dua hari anjuran Time Crystal, pengedar dan penjual jam tangan jenama Luminox di rantau ini.

Luminox Jungle Survival Course merupakan satu program tahunan Luminox yang mengumpulkan 26 peserta daripada tiga buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei bagi menguji tahap fizikal dan mental peserta, bertempat di The Canopi, Bintan Indonesia. 

Mantera "The Only Easy Day was Yesterday" merupakan ungkapan kata-kata semangat yang diambil daripada pasukan Navy SEAL untuk memberikan suntikan bagaimana kesusahan hari ini boleh menguatkan pendirian mereka untuk menghadapi hari esok. 
 


Acara tersebut dimulakan dengan pembahagian peserta kepada lima kumpulan yang berbeza, SEAL Team 6, ICE-SAR, Sea Wolves, Undersea Voyager Project dan Spartan - bersempena nama organisasi yang mempunyai kaitan dengan Luminox. 

Misi tersebut diketuai dan dikawal selia oleh Rob Roy, ketua jurulatih bagi Luminox Jungle Survival Course dan juga pesara Navy SEAL. 

Setiap peserta dibekalkan seutas jam tangan Luminox dari pelbagai siri, dan diajar cara untuk menyelaraskan masa kepada saat serta menggunakan bezel berputar untuk tujuan kiraan masa mengundur. 

 


Meniru simulasi misi ketenteraan yang sentiasa berkisar antara pilihan hidup dan mati, setiap kumpulan perlu mengikut kiraan masa yang ditetapkan untuk melengkapkan setiap fasa misi selain diberi penekanan terhadap aktiviti fizikal seperti larian pecut dan tekan tubi. 

Fizikal yang kuat tidak mencukupi untuk membolehkan seseorang Navy SEAL melaksanakan tugas dengan baik, mereka juga seharusnya mempunyai kepintaran dan kebolehan untuk menetapkan sesuatu perkara dalam masa yang cukup singkat. 
 


Ini boleh dilihat menerusi fasa di mana peserta diberikan sebuah peta navigasi yang 'kosong' serta kompas bagi membolehkan mereka menyelusuri hutan yang berliku dan paya bakau bagi melengkapkan misi yang diberikan. 
 


Aspek kerja berpasukan juga tidak dilupakan apabila setiap kumpulan diberikan syarat supaya tidak bergerak melebihi jarak enam kaki daripada ahli pasukan masing-masing sepanjang misi berjalan, sebelum diteruskan dengan aktiviti kayak. 
 


Selain daripada ciri di atas, keupayaan untuk berasimilasi (menyesuaikan diri) dengan keadaan sekeliling juga turut membantu 'mengasingkan' seorang Navy SEAL yang berjaya berbanding pasukan tentera yang lain. 

Menerusi aktiviti terakhir, setiap pasukan diminta untuk membina sebuah pondok berteduh bertujuan memaksa para peserta berfikir di luar kotak dan bekerjasama membina sebuah pondok yang mampu melindungi kesemua ahli mengikut tempoh masa yang ditetapkan. 
 


Pada hari kedua, sidang media diadakan bagi memberikan pendedahan kepada para peserta berkenaan tiga model koleksi yang dilancarkan oleh Luminox pada tahun 2018 - Navy Seal 3580 Chronograph The Only Easy Day was Yesterday, ICE-SAR 1000, dan Deep Dive Carbonox 1550. 

 


Sidang pada pagi tersebut turut dihadiri oleh Rob Roy yang berkesempatan untuk berkongsi pengalaman beliau sebagai seorang bekas Navy SEAL, bagaimana beliau mengaitkan mantera The Only Easy Day Was Yesterday sepanjang penglibatan di dalam operasi mencari dan menyelamat (Search and Resque), dan memahami kelebihan produk Luminox di dalam setiap misi ketenteraan Navy SEAL. 
 


Dengan teknologi tersendiri Always Visible, jam tangan Luminox (Lumi - bercahaya, Nox - malam) ia mampu memberikan iluminasi di dalam gelap sehingga 25 tahun tanpa sebarang bantuan lampu tambahan, memberikan kelebihan kepada seseorang Navy SEAL untuk membuat keputusan yang pantas di dalam keadaan yang genting dan kritikal. 

Luminox kini merupakan jam tangan pilihan buat tentera US Navy SEAL, juruterbang jet pejuang F-117 Nighthawk, pasukan tentera elit dan juga para penyelam professional. 

Penulis (dua dari kanan) bersama ahli pasukan Spartan berjaya menyiapkan pondok berteduh mengikut masa yang ditetapkan walaupun bermula agak lewat berbanding ahli kumpulan yang lain.

Terima kasih kepada Jason Ti daripada Crystal Time (M) Sdn Bhd dan Pamela Tan daripada Crystal Time (S) Pte Ltd atas jemputan eksklusif untuk menghadiri acara tahunan ini. 

Terima kasih juga kepada jurugambar rasmi Andy Kho atas gambar-gambar yang sangat menarik. 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Gaya Hidup
Jam tangan yang mampu bertahan dalam keadaan ekstrem ini didatangkan dengan casis keluli tahan…
Gaya Hidup
Luminox sekali lagi tampil dengan pengenalan koleksi terbaharu Navy SEAL, iaitu 3600 Series di mana…
Gaya Hidup
Sebagai sebuah rakan rasmi kepada pasukan penyelamat Icelandic Association for Search and Rescue (…