Kit gentian karbon TRD khusus buat Toyota GR Supra

oleh Mohamad Hanif|

Toyota Supra sudah pun selesai dilancarkan di negara kelahiran asal model JZA80 Supra, Jepun dan seperti mana yang kita tahu, A90 Supra hadir dengan penawaran dua kapasiti enjin yang berbeza, 2.0 liter dan 3.0 liter.

Sebagai sebuah negara yang kaya dengan sejarah automotif dan khidmat penala yang melimpah ruah, TRD memulakan langkah dengan memperkenalkan komponen aero gentian karbon khusus untuk model A90 Supra. 
 


Aksesori aerodinamik tersebut merangkumi komponen yang diperbuat daripada bahan yang ringan seperti spoiler hadapan, skirt sisi, hiasan sisi pintu, spoiler belakang dan juga trunk spoiler. 

Tidak ketinggalan, set rim aluminium forged bersaiz 19 inci yang diakhiri dengan kemasan hitam dan dibaluti tayar prestasi tinggi Michelin. 

TRD tidak menghasilkan komponen ini tanpa efek sebenar ketika memandu. 
 


Mengambil contoh spoiler hadapan, ia merupakan binaan three-piece yang dibangunkan untuk meningkatkan daya bawah dan mengurangkan daya angkat pada kelajuan yang tinggi. 

Penggunaan alat ini sahaja sudah menurunkan ketinggian kereta sebanyak 14 mm, dan dibantu oleh diffuser gentian karbon di bahagian belakang menurunkan lagi ketinggian sebanyak 24 mm. 

Kebaikannya? Titik graviti yang lebih rendah dan daya pengendalian yang lebih meyakinkan ketika sedang menyerang selekoh. 
 


Untuk sementara waktu, TRD hanya menjual aksesori aerodinamik ini untuk pasaran Jepun sahaja terlebih dahulu sebelum ia akan diperluaskan untuk pasaran global. 

 

Percayalah, tatkala ramai yang menyindir kenapa Toyota Supra ini seperti sebuah BMW, anda perlu lihat sendiri suasana menjelang pameran automotif terbesar di Tokyo hujung tahun ini di mana akan berlakunya lambakan peralatan prestasi yang dibangunkan khas daripada penala-penala terkemuka untuk Toyota A90 Supra. 

Sama halnya ketika Toyota GT86/Subaru BRZ baharu menjengah diri ke pasaran beberapa tahun yang lalu. 
 

Add new comment

Careta Ad