Kia EV6 2025 diperkenal di Korea, jarak bertambah, lampu depan unik

oleh Muhammad Md Tajudin|
Kia EV6 2025
Kia EV6 2025
Kia EV6 diperkenal pada 2021 dan tampil dengan rekaan unik. EV6 juga model elektrik pertama yang dibangunkan dari pelantar E-GMP.

EV6 ditawarkan di serata dunia termasuk pasaran tempatan dan sehingga kini sudah mencatat jualan melebihi 210,000 unit.

EV6 turut mencatat sejarah dengan menjadi jenama Korea pertama yang menang anugerah'European Car of the Year pada 2022.

Tahun berikutnya EV6 menang anugerah The North American Car, Truck and Utility Vehicle of the Year (kategori SUV).
Kia EV6 GT-Line 2024

 

Selain angka jualan dan pengiktirafan, ada lagi yang mengujakan iaitu EV6 GT merupakan kereta pengeluaran Kia paling berkuasa setakat ini.

Pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 3.5 saat! EV6 GT dibekalkan dua motor elektrik dan memiliki kuasa 430 kilowatt (kW) dan daya kilas 740Nm.

Beberapa tahun di pasaran kini tiba giliran untuk model rupa baharu dan terlebih dahulu diperkenal di Korea.

EV6 2025 dibuat menggunakan konsep Modern Contrast. Rupa depan EV6 nampak berbeza dengan lampu berbentuk C dan lampu nyalaan siang (DRL) Star Map Signature Lighting.

 

Kia EV6 2024

 

Gayaan lampu begini boleh dilihat pada model EV baharu Kia yang lain dan EV6 GT-Line menerima sebaris lampu pada jeriji.

Bampar direka baharu dan berbentuk sayap dan walaupun dikatakan begitu, penulis melihatnya sebagai sepit ketam mungkin kerana kerap melihatnya pada kereta hari ini.

Sepit ketam pada bampar GT-Line lebih ketara namun lebih nipis berbanding dahulu. Secara keseluruhannya, EV6 2025 nampak seperti sebuah kereta perayau bulan.

Bahagian sisi dipasangkan rim corak baharu. Bahagian belakang EV6 yang juga unik menggunakan lampu wide star map dan bampar bentuk sayap seperti depan.

 

Kia EV6 GT-Line 2025

 

EV6 GT-Line menggunakan rim khas saiz 20 inci dan turut beri bampar belakang baharu.

Corak rim baharu jenis menegak nampak sesuai dengan badan EV6 yang membujur dan bulat.

Pada bahagian dalam, skrin panjang dan condong pada kedua-dua sisi ditukar kepada jenis berpetak. Stereng juga ditukar namun kekal tanpa rongga atau berbentuk klasik.

EV6 dilengkapi sistem pengesahan cap jari pada konsol tengah, pad pengecasan tanpa wayar dengan struktur yang ditambah baik bagi menghalang telefon daripada bergerak.

 

Kia EV6 GT-Line 2025

 

Lampu suasana baharu mempunyai grafik yang dinamik. Terdapat beberapa pilihan warna dalaman seperti Medium Gray, Toffee Brown dan Green & Light Gray.

Hitam & Putih khas untuk GT-Line dan bahagian luar juga istimewa dengan dua tambahan warna iaitu Wolf Gray dan Yacht Matt Blue.

Berkenaan rangkaian kuasa, EV6 2025 boleh dipandu lebih jauh hasil daripada bateri baharu.

Kia memasang bateri 84 kilowatt-jam (kWj) generasi keempat berbanding 77.4 kWj sebelum ini dan mempunyai kadar ketumpatan tenaga lebih tinggi.

 

Kia EV6 2024

 

Berdasarkan prestasi bateri yang lebih baik, jarak pemanduan meningkat daripada 475 km kepada 494 km (Long range 2WD, rim 19 inci tanpa kamera terbina dalam).

Kelajuan pengecasan pantas juga bertambah dan melalui pengecas 350 kW ultra laju, pengisian 'jus' dari 10 sehingga 80 peratus boleh dibuat dalam masa 18 minit.

Keselesaan pemanduan di permukaan jalan kasar turut ditambah baik.

Penalaan dibuat pada penyerap hentak sensitif pergerakan, mengoptimumkan kawalan bunyi motor dan menambah penyerap bunyi pada bahagian motor belakang.

 

Kia EV6 2024

 

Satu lagi yang menarik, Kia telah menambah ketebalan tiang B dan melengkapi EV6 dengan sepuluh beg udara termasuk pada bahagian sisi baris kedua.

Lagi ciri-ciri Kia EV6 2025:

  • Sistem maklumat hibur generasi baharu ccNC (connected car navigation cockpit)
  • Peluasan skop kemas kini perisian dalam talian (OTA)
  • Walk Away Lock
  • Kia Digital Key 2
  • Pengecaman pegangan stereng (HoD)
  • Bantuan pengekalan lorong 2 (LFA 2)
  • Remote smart parking assist 2 (RSPA 2)
  • Bantuan pencegahan kemalangan parkir depan, sisi, belakang (PCA-F/S/R)
  • Larasan stereng condong dan teleskopik elektrik
  • Penyaman udara dengan pemangkin pensterilan
  • Papar pandu (HUD) 12 inci
  • Cermin pandang belakang digital
  • Kamera terbina dalam
Kia EV6 2024

 

Selain ciri-ciri menarik di atas, ada lagi yang menambah tarikan iaitu Kia mengekalkan harga EV6 2025 seperti sebelum ini.

  • EV6 Long Range: KRW55.4 juta (RM191,586)
  • EV6 Light: KRW55.4 juta (RM191,586)
  • EV6 Air: KRW58.24 juta (RM201,418)
  • EV6 Earth: KRW62.52 juta (RM216,212)
  • EV6 GT-Line: KRW63.15 juta (RM218,390)

Harga tersebut tidak termasuk subsidi pemerintah Korea dan EV6 dijangka mula dijual pada Jun 2024.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Kia EV6 2024

 

Tags

Berita Berkenaan

Berita Global
Untuk meraikan pencapaian tersebut, Kia telah melancarkan model edisi terhad yang dinamakan sebagai…
Telah Diuji
Dalam keterujaan dan keseronokan, penulis juga berasa sedikit gementar kerana ini adalah pengalaman…
Berita Global
Tidak semua mempunyai reputasi kebolehpercayaan (reliability) yang sama, berdasarkan laporan…