Dalam keterujaan dan keseronokan, penulis juga berasa sedikit gementar kerana ini adalah pengalaman pertama kali untuk menguji sebuah kereta elektrik atau EV.
Sedikit info penting berkenaan kedua EV tersebut, secara teknikalnya kedua-duanya dihasilkan dari platform yang sama iaitu Electric-Global Modular Platform (E-GMP), jadi tidak banyak perbandingan yang boleh diberi melainkan rupa luarannya yang berbeza.
Berikut merupakan spesifikasi kedua-dua EV tersebut:
Kia EV6
Untuk pasaran Malaysia, EV6 didatangkan dengan varian tunggal iaitu GT-Line AWD yang merupakan unit CBU, harga bagi EV6 ialah RM300,668.
Ia dikuasakan pek bateri litium-ion 77.4 kWj dipadankan bersama 2 motor elektrik menghasilkan 321 HP dan 605 Nm dengan jarak gerak sejauh 506 km.
EV6 ditawarkan dengan waranti kereta sehingga 5 tahun atau 50,000 km, dan waranti bateri sehingga 7 tahun atau 150,000 km.
Ioniq 5
Berbeza dari EV6, Ioniq 5 untuk pasaran Malaysia didatangkan dengan 3 varian iaitu Lite, Plus dan Max.
Varian Lite dan Plus masing-masing dikuasakan pek bateri 58 kWj dipadankan bersama motor tunggal menghasilkan 170 HP dan 350 Nm dengan jarak gerak sejauh 384 km.
Manakala varian tertingginya, Max dikuasakan pek bateri 72.6 kWj dipadankan bersama dua motor elektrik menghasilkan sehingga 305 HP dan 605 Nm dengan jarak gerak sejauh 430 km.
Ioniq 5 ditawarkan dengan waranti kereta sehingga 2 tahun atau 50,000 km, dengan pilihan tambahan RM10,000 untuk 5 tahun atau 100,000 km.
Manakala waranti bateri pula sehingga 8 tahun atau 160,000 km, harga bagi Ioniq 5 bermula dari RM198,888 untuk varian Lite, RM229,888 untuk varian Plus dan RM259,888 untuk varian Max
Sebagai perbandingan, jika ditambah dengan pilihan waranti tambahan, varian tertinggi Ioniq 5 masih jauh lebih murah dari Kia EV6.
Dari segi kelajuan pengecasan, kedua-dua EV tersebut dilengkapi pengecas pantas DC 350 kW yang membolehkan baterinya dicaj dari 10% hingga 80% dalam masa 18 minit sahaja.
Perkara pertama yang penulis ingin kongsikan dari pandu uji tersebut, tentu sekali berkenaan pengalaman pemanduan terutama sekali memandu EV.
Memandangkan kedua-dua EV tersebut dihasilkan dari platform E-GMP, boleh dikatakan pandu uji keduanya hampir sama.
Bagi penulis, segala aspek pemanduan hampir sama dengan kereta berenjin pembakaran dalaman (ICE), melainkan kuasa pecutannya dimana kesemua 605 Nm itu dapat dirasakan, terutama sekali dalam mode pemanduan Sport.
Sebagai seorang yang sudah terbiasa dengan deruman enjin serta keseronokan menukar gear, memandu EV itu memerlukan sedikit penyesuaian kerana selain bunyi radio dan jalan, penulis berasa janggal disebabkan pemanduan yang terlalu senyap tanpa ada gear untuk dinikmati.
Tetapi, ketika pemanduan di jalan sesak, pertama kalinya penulis dapat merasai ketenangan dan keselesaan berada di dalam kereta.
Seterusnya, terdapat satu fungsi yang penulis rasakan tidak begitu gemar untuk digunakan, iaitu i-Pedal. Dimana ia berfungsi sebagai pemanduan 1 pedal tanpa menggunakan brek.
Ia didatangkan dengan beberapa peringkat pilihan, apabila i-Pedal berfungsi, penulis berasa sedikit terganggu kerana terlalu kerap pula pedal minyak digunakan akibat fungsi tersebut yang sentiasa membrek.
Tanpa fungsi i-Pedal, penulis merasakan respon brek kedua-dua EV tersebut amat baik serta cekap terutama di jalan yang sesak dan apabila mahu mengelak sesuatu objek tanpa otak.
Dari segi kendalian, kedua-dua EV terasa tegap apabila menghadapi selekoh tajam, bersama sistem gantungan nya yang solid itu sedikit sebanyak membantu penulis mengawal kereta dengan yakin.
Pada bahagian dalaman, hampir semua reka bentuk kedua model itu kelihatan sama terutamanya bahagian kabin bersama 2 skrin 12.3 inci dengan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay.
Tetapi penulis lebih gemar pada reka bentuk Ioniq 5 dengan konsol tengah yang ringkas cukup lengkap bersama tempat letak tangan dan pengecas tanpa wayar untuk telefon.
Berbanding reka bentuk EV6 dengan rekaan konsol tengah yang seakan-akan mencuba jadi seperti kabin kapal angkasa, sekaligus memakan ruang yang tidak sepatutnya.
Jika penulis memiliki lebih dari RM300 ribu untuk dibelanjakan sebagai kereta kedua atau hujung minggu, penulis akan memilih Ioniq 5 dengan varian tertinggi bersama pilihan tambahan waranti.
Jika dibandingkan rupa luaran, rupa EV6 kelihatan lebih sporty dan ganas, namun penulis lebih gemar dengan rupa luaran Ioniq 5 yang lebih ringkas dan kemas dengan gaya tersendiri.
Sebagai tambahan, mengapa penulis menyatakan sebagai kereta kedua? Hal ini kerana penulis masih merasakan bahawa penggunaan EV masih belum relevan sebagai kuda kerja yang digunakan setiap hari.
Masih terdapat banyak ruang yang boleh ditambah baik bagi penggunaan EV di Malaysia seperti tempat pengecasan dan kuantiti pengecas serta lingkungan harga yang ditawarkan.
Jarak yang dihasilkan semua EV dalam pasaran juga masih belum cukup untuk melayakkan EV sebagai pengganti kereta enjin pembakaran dalaman sebagai pengangkutan utama di Malaysia.