Kelibat sebuah lagi produk SUV Proton sebenarnya telah pun dikesan beberapa bulan yang lalu, dan berdasarkan bentuk badan ia dikenal pasti sebagai Geely Hao Yue atau Geely Okavango di negara jiran Filipina.

Terbaharu, pembaca Careta @zackeb__ telah berjaya mengesan kelibat model ujian SUV Proton itu di kawasan parkir Hentian Rehat Genting Sempah dengan membawakan pelekat samaran yang berbeza berbanding pada bulan Mei lalu.
Berdasarkan format penamaan terbaharu yang digunakan oleh Proton, besar kemungkinan Geely Hao Yue ini akan dinamakan sebagai Proton X90, berdasarkan ukurannya yang jauh lebih besar jika dibandingkan dengan Proton X70.

Ia membawakan ukuran sepanjang 4,835 mm, lebar 1,900 mm dan tinggi 1,780 mm, serta jarak antara roda sekitar 2,815 mm.
Jika dibandingkan dengan pesaing terdekat Mazda CX-8, Geely Haoyue memiliki dimensi dan jarak antara roda yang sedikit pendek, namun lebih lebar dan tinggi berbanding SUV Mazda tersebut.

Di pasaran Filipina, Geely Okavango ditawarkan dengan enjin 1.5 liter turbo dibantu dengan sistem hibrid ringkas yang berupaya menjana 190 kuasa kuda dan 300 Nm daya kilas, serta padanan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.
Spesifikasi Geely Hao Yue boleh dibaca pada pautan dibawah:
Geely Hao Yue